Mahkamah dengar permohonan Jamal batal saman Bee Yin 23 Julai


Bede Hong

Ahli Parlimen DAP Yeo Bee Yin fail saman RM5 juta terhadap Jamal Yunos kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung penyalahgunaan dana Yawas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 23 Julai untuk mendengar permohonan Jamal Yunos membatalkan saman RM5 juta yang difailkan ahli Parlimen DAP Yeo Bee Yin terhadapnya.

Peguam Sankara Nair yang mewakili Yeo berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes pagi ini di hadapan Hakim Rozana Ali Yusof.

“Defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan kes atas alasan siasatan SPRM sedang berjalan dan oleh itu permohonan saman tersebut bersifat pra-matang,” katanya.

Mahkamah Tinggi juga menetapkan 9 hingga 13 November untuk perbicaraan sekiranya permohonan Jamal ditolak.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memfailkan permohonan membatalkan saman Yeo pada 25 Jun. 

Peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad yang mewakili Jamal tidak bercakap dengan media.

Pada 14 Jun 2017, Yeo menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Ahli Parlimen Bakri itu berkata Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017, yang disiarkan di beberapa akhbar, portal berita dan laman Facebok defendan.

Kenyataan Jamal itu antara lain memberi gambaran beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai, kata bekas menteri menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Yeo menunut ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang Jamal mengulangi kenyataan tersebut. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen