Khazanah muktamad keputusan mengenai Malaysia Airlines tahun ini


The Malaysian Insight

Khazanah akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan MAB untuk mengkaji semula cadangan yang diterima dan memuktamadkan keputusan tentang pilihan strategik yang sesuai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

KHAZANAH Nasional Bhd masih mengkaji pilihan rakan kongsi strategik Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang paling sesuai, menurut dana kekayaan berdaulat negara itu dalam laporan tahunan 2019 yang diterbitkan semalam.

“Khazanah menilai pilihan yang ada untuk menyelesaikan isu-isu utama yang dihadapi MAB dan melakukan proses penilaian rakan kongsi yang berpotensi bagi syarikat penerbangan itu pada tahun 2019. 

“Khazanah telah menerima sejumlah sembilan cadangan, yang mana empat telah disenarai pendekkan. Bagi tahun 2020, Khazanah akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan MAB untuk mengkaji semula cadangan yang diterima dan memuktamadkan keputusan tentang pilihan strategik yang sesuai untuk bergerak ke hadapan,” kata Khazanah dalam laporannya.

Menurut rekod yang difailkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilihat The Malaysian Insight, MAB melaporkan kerugian bersih sebanyak RM791.70 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, berbanding RM812.11 pada tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat sedikit sebanyak 0.8% kepada RM8.73 bilion dari RM8.67 bilion. 

Berdasarkan pelan pemulihan 12 perkara Khazanah, MAB sepatutnya mencatatkan keuntungan tahun lepas.

Khazanah memperuntukkan RM6 bilion untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu.

MAB merupakan antara dua perkara utama yang disebutkan Khazanah sebagai “dana strategik”.

Dalam laporan tahunan 2019 yang diterbitkan semalam, Khazanah berkata ia akan melaksanakan keseluruhan mandat melalui struktur pelaburan dwidana atau dua dana iaitu Dana Komersial (CF) dan Dana Strategik (SF).

Khazanah juga berkata ia berjaya menjimatkan RM42 bilion melalui penstrukturan semula PLUS Malaysia (PLUS) pada 2018.

Pentrukturan semula ini juga membolehkan pengguna lebuh raya seperti Lebuhraya Utara-Selatan menikmati pengurangan sebanyak 18% mulai Februari tahun ini.

“Pada tahun 2019, SF telah mencapai hasil kewangan dan juga strategik bagi aset-aset tertentu, sambil menjana pulangan keseluruhan sebanyak 2.9%.”

Bagi Dana Komersial, Khazanah mensasarkan pulangan sekurang-kurangnya Indeks Harga Pengguna Malaysia (CPI) + 3% berdasarkan tempoh pelaksanaan selama 5 tahun.

Manakala bagi Dana Strategik pula, Khazanah mensasarkan pulangan sekurang-kurangnya hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10-tahun bagi tempoh
pelaksanaan selama 5 tahun dan mencapai objektif strategiknya. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen