BAYARAN gaji tinggi kepada pekerja tempatan bukan masalah utama warga Malaysia masih enggan melakukan kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar), kata majikan.
Ini terutamanya dalam sektor intensif buruh seperti pembinaan dan pertanian, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata industri pembinaan secara umumnya membayar pekerja asing antara RM2,500 dan RM3,000 termasuk kerja lebih masa.
“Pekerja tempatan tidak suka industri pembinaan. Mereka tidak suka kotor, mereka tidak suka bawah terik matahari dan hujan, jadi majikan tidak boleh mengambil mereka,” kata Foo.
Foo mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) untuk menaikkan gaji minimum kerja 3D kepada RM2,700, terutamanya di kawasan bandar. Ini juga kadar gaji yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia dalam laporan tahunan 2017.
Foo berkata, tidak menjadi masalah untuk membayar gaji minimum kepada warga tempatan, melihatkan kepada jumlah gaji yang dibayar kepada pekerja asing.
Beliau berkata industri pembinaan membayar sekitar RM70 hingga RM80 sehari kepada pekerja dan mereka yang berkemahiran dibayar RM100 hingga RM150 sehari.
Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia, Tan So Tiok berkata pasar borong Kuala Lumpur kini menawarkan RM100 sehari namun penerimaan pekerja tempatan adalah rendah.
“Ada segelintir peniaga yang masih tidak dapat menggaji pekerja tempatan dan ada yang hilang pekerja selepas satu atau dua hari.
“Mereka yang bekerja di pasar borong tidak perlu berdepan maslaah cuaca, tetapi perlu bangun awal pagi sebelum subuh,” kata Tan.

Untuk bekerja di kebun sayur, pekerja boleh mendapat antara RM2,000 dan RM3,000, namun dengan jumlah itu pun petani masih sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing.
Warga tempatan mungkin lebih rela bekerja dalam logistik penghantaran sayur tetapi tidak di ladang, kerana ia adalah kerja berat.
“Ini masalah yang besar. Sebilangan pekerja asing yang diambil bekerja pada awalnya tidak dapat kembali ke Malaysia setelah pulang ke negara asalnya, dan sekarang kami tidak dapat menggaji pekerja asing baru, namun penduduk tempatan enggan bekerja dalam bidang ini.”
Menteri Sumber Manusia M. Saravanan baru-baru ini berkata, pengambilan pekerja asing dibekukan sepanjang tahun ini berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk memberi ruang kepada pekerja tempatan yang diberhentikan dan kehilangan kerja.
Pada April, Jabatan Perangkaan melaporkan kadar pengangguran meningkat sehingga 5% yang mana ia merupakan tertinggi dalam 30 tahun.
Tetapi industri pembinaan, pertanian dan pembuatan perabot masih sukar untuk mengisi kekosongan dengan pekerja tempatan.
Foo mengatakan bahawa industri pembinaan sangat bergantung kepada tenaga kerja dan kerana pandemik Covid-19, banyak tapak pembinaan tidak dapat memulakan pembinaan semula kerana kekurangan tenaga kerja.
“Oleh itu, jika penduduk tempatan berminat, majikan pasti akan bersedia untuk mengambil pekerja, kerana majikan tidak perlu membayar atau menangani perkara seperti permohonan visa kerja tahunan untuk pekerja asing.
“Bagaimanapun, penduduk tempatan tidak berminat dengan kerja itu.”
Foo berkata menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 80% tapak pembinaan telah menyambung operasi pada Jun, manakala selebihnya tidak dapat memulakannya kerana kekurangan aliran tunai dan buruh.
Manakala industri perabot sukar untuk melaraskan gaji bagi menarik minat pekerja tempatan. – 8 Julai, 2020.
Komen