Pencinta sungai dan mimpi alam hijau


Zainal Rashid Ahmad

PAK Nyang anak rantau dari Batu Kurau dan meneroka tanah di kawasan Alang Sendayu, Gombak sejak 1982.

Sebagai anak rantau dan bekerja menjadi pengawal keselamatan ketika usia 18 tahun, Pak Nyang terpaksa membina rumah pondok di pinggir hutan simpan Klang Gates.

Itu sejarah 38 tahun lalu. Namun, kesan berada di pinggir hutan dan berdekatan sungai membekas dalam hatinya.

Klang Gates hingga kini menjadi sebahagian dunianya.

Memulakan kerja sebagai pengawal keselamatan, sejak lama dulu hutan simpan Alang Sendayu telah menjadi sumber rezeki tambahan.

Dari bujang sampai berkahwin dan beranak cucu, hutan simpan ini kini sudah sebati dengan hidupnya. Malah, menjadi kecintaannya.

“Saya meneroka kawasan belukar dan membina rumah pada awal 80-an berdekatan kawasan hutan simpan di sini,” katanya.

Sejak itu alam dan anak sungai di kawasan ini adalah dunia Pak Nyang.

Saya selalu masuk ke belukar untuk mencari buluh, mendenak ayam hutan, mengail ikan dan mencari hasil tanaman.

“Berapa sangat gaji pengawal keselamatan tahun 80-an dan 90-an?” Katanya.

Justeru, rezeki tambahan untuk hidup datang dari sumber di hutan.

“Paling tidak pucuk paku, rebung dan kangkung liar ada sepanjang tahun,” katanya.

Walaupun tinggal 20 kilometer dari Kuala Lumpur, Pak Nyang tidak kenal KLCC atau LRT. Dia tidak berminat pada Bukit Bintang atau Dataran Merdeka.

“Saya orang kampung, jadi hutan Klang Gates lebih menarik berbanding bangunan mewah di Kuala Lumpur,” katanya.

Masuk hutan bersihkan sungai

Setiap hujung minggu, sejak dekad 90-an, rutinnya ialah memasuki hutan dan menyusur sungai membersihkan sisa-sisa kayu dan sampah-sarap.

Pak Nyang rimas melihat sungai di laluan hutan simpan dicemari sampah yang menyebabkan aliran air terjejas.

Bahayanya menyebabkan air bertakung dan membentuk kolam tadahan yang boleh menyebabkan banjir kilat.

“Jadi setiap hujung minggu saya menjelajah sepanjang sungai mengutip apa saja sampah-sarap yang menghalang laluan air,” katanya.

Kecintaan pada sungai, akhirnya menyebabkan Pak Nyang memilih membina pondok di hulu sungai. Selain mencari hasil hutan, fokusnya tetap pada usaha menjaga kebersihan sungai.

“Saya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan membuka pondok rehat yang disewakan kepada pengunjung hujung minggu,” katanya.

Selain itu, Pak Nyang membantu pelancong asing yang berminat menjelajah hutan dan menikmati cabaran ala “jungle survival”.

“Saya ingin mendapatkan sokongan kerajaan untuk menganjurkan program menyintai hutan dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Anak-anak bandaraya, kata Pak Nyang, perlu menghargai kawasan hutan simpan di sekitar Lembah Kelang.

“Mereka harapan kita demi masa depan kalau tidak mahu hutan belantara di KL dijadikan hutan batu,” katanya.

Kata-kata akhirnya: “Saya tidak berpelajaran. Bolehkah sesiapa membantu melaksanakan projek demi masa depan hutan kita?”

Sebagai usahawan kecil yang mengusahakan pondok rehat Zoom Bamboo Rimba, Pak Nyang merayu sokongan demi memelihara kelestarian hutan simpan di Klang Gates.

“Saya mahu memastikan generasi muda menyedari pentingnya peranan hutan simpan dalam kehidupan warga kota,” katanya. – 8 Julai, 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen