Cabang tak terjejas walau anak buah Zuraida, Azmin keluar PKR


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin akar umbi berkata aktiviti di cabang tetap diteruskan dan jentera dibentuk untuk hadapi pilihan raya walaupun dengan ketiadaan Mohamed Azmin Ali dan sekutunya Zuraida Kamaruddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

TINDAKAN ahli PKR meninggalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim itu tidak melumpuhkan cabang terlibat yang masih mampu bergerak seperti biasa, kata pemimpin akar umbi.

Keadaan itu dapat dilihat di cabang PKR Ampang, kubu kuat Zuraida Kamaruddin dan juga Gombak yang sebelum ini diketuai Mohamed Azmin Ali.

Mereka merupakan antara antara pemimpin yang dipecat oleh parti dan kini menyertai kerajaan Muhyiddin Yassin.

Seramai 250 anggota parti di cabang Ampang mengumumkan keluar parti minggu lalu namun ahli jawatankuasanya masih mampu bergerak seperti biasa, kata pemimpin cabang tersebut.

Mereka menjelaskan, ini kerana individu yang mengumumkan keluar parti itu sudah dikenakan tindakan oleh PKR dan tidak mempunyai kedudukan yang mampu menjejaskan parti.

Oleh itu, cabang berkenaan mampu membentuk jentera untuk menghadapi pilihan raya, kata ahli jawatankuasanya Suzannah Shaharudin kepada The Malaysian Insight.

“Kita dah bersedia, diberitahu yang keluar 250 ahli, sedangkan keahlian PKR di Ampang ada 16,000, mereka yang keluar tak bagi impak besar kepada parti.

“Walaupun mereka kata bubar cabang, tapi mereka dah digantung dan dipecat sebelum ini jadi mereka tiada kuasa hendak umum bubar cabang dan sebagainya.

“Mereka (yang umum keluar parti itu semuanya) yang sudah digantung keahlian dan ada yang sudah dipecat daripada parti.

“Ada portfolio mereka yang sebenarnya sudah diisi dan kita sekarang pun dah buat gerakan untuk jentera pilihan raya,” katanya.

Jelasnya, cabang Ampang juga sangat utuh kerana ia cabang anak angkat kepada Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari.

Kesemua barisan kepimpinan PKR cabang berkenaan kini bekerja dan menjalankan aktiviti seperti biasa.

Katanya tindakan ahli PKR meninggalkan parti memang sudah dijangka susulan tindakan ketuanya, Zuraida bersama 10 lagi ahli Parlimen parti itu bertindak keluar PKR dan membentuk blok Bebas.

Mereka bertindak demikian susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan dan pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Antara yang turut mengambil tindakan sama adalah kira-kira 500 ahli PKR Batu Pahat yang diketuai ahli Parlimen Mohd Rashid Hasnon, yang juga keluar PKR.

Selain itu, Adun PKR Selangor Daroyah Alwi bersama barisan kepimpinan PKR Kapar turut mengambil langkah sama dan menjadi Adun Bebas pro-PN di DUN Selangor.

Selepas menjalankan tindakan pemecatan, cabang Ampang kini menjalankan pemutihan melibatkan struktur pentadbiran kerajaan tempatan, kata aktivis PKR Daing Mohamad Reduan.

“Ahli-ahli majlis mana yang dibuang kita akan susun balik untuk berjalan semula. Ada ketua kampung, ahli majlis yang keluar parti, jadi kita akan susun semula,” katanya.

Tambahnya keadaan di cabang Gombak yang sebelum ini diketuai Azmin pula lebih baik berbanding di cabang Ampang.

Mereka hanya perlu melantik pemangku untuk menggantikan jawatan ketua Pemuda PKR yang sebelum ini disandang orang kanan Azmin, Hilman Idham, katanya.

“Gombak tiada masalah. Cabang akan ada rombakan sikit. Ketua AMK Hilman sudah tidak ada, mereka lantik pemangku.

“Gombak lebih baik keadaannya daripada Ampang, tak terjejas sangat,” katanya. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen