Bukan semudah itu Muhyiddin boleh ganti speaker, kata Nga


Khoo Gek San

Timbalan Speaker Nga Kor Ming berkata bukan mudah memastikan Parlimen meluluskan usul menggantikan speaker dan timbalannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Julai, 2020.

RANCANGAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming bukanlah semudah disangka kerana ia melibatkan tiga proses dan memerlukan undian pada setiap peringkat.

Justeru, Nga berkata Muhyiddin tidak semestinya berdepan jalan mudah bagi memastikan usulnya diluluskan Dewan Rakyat kerana apa sahaja boleh berlaku.

Faktor lain yang mungkin menggagalkan rancangan Muhyiddin adalah perpecahan dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin perdana menteri itu, kata timbalan speaker.

Inisiatif memecat speaker dan timbalannya, pada peringkat pertama memerlukan beliau mengemukakan usul untuk menggantikan speaker.

Ini diikuti dengan usul untuk menangguhkan arahan tetap Dewan Rakyat dan akhirnya, usul untuk mengundi memilih speaker dan timbalan yang baharu.

Jika Muhyiddin gagal mendapatkan majoriti anggota Parlimen untuk menyokongnya pada ketiga-tiga peringkat, usul itu akan gagal, kata Nga.

Ia akan menjadi tamparan kepada Muhyiddin jika usul PN menggantikan speaker dan timbalannya gagal.

“Kerajaan PN sudah tidak stabil. Ia mempunyai 113 undi dan pembangkang mempunyai 109 undi. Perbezaannya hanya dua kerusi,” kata Nga, yang juga ahli Parlimen Teluk Intan.

“Jika usul speaker tidak lulus, pihak paling rugi adalah Muhyiddin kerana ia akan mendedahkan kelemahannya. PN adalah kuasa yang tidak bersatu dan tidak mempunyai mandat rakyat.”

The Malaysian Insight melaporkan usaha menggantikan Ariff dan Nga, yang kedua-duanya dilantik oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

PN mencalonkan Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun untuk menggantikan Ariff dan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said sebagai pengganti Nga.

Pada akhir Februari, PH digulingkan dalam rampasan kuasa oleh mereka yang setia kepada Muhyiddin, yang juga merupakan bekas menteri dalam negeri, dan menteri Kabinet Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin dan Azmin kemudian membentuk PN dengan lawan politik Umno, PAS, GPS dan ahli Parlimen Sabah.

Timbalan Speaker Nga Kor Ming berkata PN akan menerima tamparan jika usul menggantikan speaker dan timbalannya gagal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Julai, 2020.

Nga berkata belum pernah terjadi tindakan menggantikan speaker Dewan Rakyat pada pertengahan penggal mereka.

Kekosongan jawatan tersebut biasanya disebabkan oleh tiga keadaan: pembubaran Parlimen, kematian, dan, peletakan jawatan secara sukarela speaker.

Nga menegaskan semasa pemerintahan PH, Presiden Dewan Negara Vigneswaran Sanasee dibenarkan berkhidmat sehingga akhir penggal walaupun beliau dilantik oleh bekas kerajaan Barisan Nasional.

Speaker Dewan Rakyat yang terakhir mengosongkan jawatan semasa bertugas adalah Syed Nasir Ismail kerana serangan jantung.

Syed Nasir rebah ketika mempengerusikan sidang Parlimen pada 1982 dan dikejarkan ke hospital. Beliau meninggal sejam kemudian.

Dalam kesnya dan Ariff, Nga mendakwa Muhyiddin tidak memberikan alasan mengapa mereka perlu diganti.

“Tiada alasan lain selain politik. Anda perlu mengganti seseorang. Jika bos memecat anda, beliau pasti ada alasan. Kerana ini (alasan), anda dipecat.

“Kami bukan budak pejabat, tiada speaker disingkirkan dalam sejarah Parlimen.” – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen