DUA pegawai polis disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah adalah antara 14 orang yang ditahan dalam Op Nutcracker, yang sekali gus melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Sarawak.
Dalam operasi di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak bermula Rabu lepas, polis merampas 182 kilogram dadah berjumlah RM10 juta serta membongkar makmal dadah di kawasan pedalaman di Batang Kali, Hulu Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ramli Din berkata kesemua suspek yang ditahan itu terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 26 hingga 58 tahun.
“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 580,000 penagih dan polis percaya mereka ini adalah antara sindiket pengedaran dadah yang terbesar di Sarawak.
“Dua pegawai polis berpangkat ASP (Asisten Superintendan) dan Sub Inspektor yang bertugas di Sarawak itu dipercayai bersekongkol dengan sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata dalam operasi itu, polis merampas 424,500 biji pil erimin 5, syabu (63 kg) dan ketamin (12 kg) serta menyita pelbagai jenis aset hasil penjualan dadah bernilai RM1.07 juta.
“Turut dirampas adalah barang kimia serta pelbagai jenis mesin dianggarkan seberat satu tan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis eramin 5,” katanya.
Mengulas penemuan mesin itu, Ramli mendedahkan yang mesin yang ditemukan di makmal dadah itu mampu menghasilkan 70,000 pil eramin yang dianggarkan bernilai RM1 juta.
“Makmal ini dibina di kawasan kebun yang ditinggalkan dan kekerapan sindiket ini menghasilkan dadah adalah tiga hingga lima kali seminggu,” katanya.
Ramli berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu biasanya menyewa hotel mewah di sekitar ibu negara untuk membungkus dadah dengan memasukkannya ke dalam kotak makanan.
“Kotak makanan berisi dadah itu akan dibawa oleh keldai dadah yang diupah untuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Sarawak.
“Sindiket ini dikesan telah membuat penghantaran dadah sebanyak 28 kali sejak 2017. Setiap penghantaran akan menggunakan satu atau dua keldai dadah,” katanya dan menambah polis percaya sindiket itu turut aktif di Brunei dan Indonesia.
Ramli berkata kesemua suspek kini direman selama enam dan tujuh hari dari tarikh ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang menjadi duri dalam daging iaitu bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah,” katanya. – Bernama, 7 Julai, 2020.
Komen