POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kereta jenis Hyundai berwarna putih kerana memandu melawan arus di Batu 5, Jalan Meru, Klang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata insiden kereta dipandu melawan arus itu dirakam bermula dari simpang tiga Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Bukit Raja kira-kira pukul 10.50 malam.
“Kereta jenis Hyundai berwarna putih dengan nombor pendaftaran yang belum dapat dipastikan itu dirakam memandu melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Pemandunya sedang dijejaki bagi melengkapkan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Abdul ‘Azim Mazlan di talian 013-4146144,” katanya.
Beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, satu video yang dirakam orang awam tular dalam aplikasi WhatsApp menunjukkan kereta berkenaan dipandu melawan arus sehingga menyebabkan pemandu kenderaan lain terpaksa mengelak daripada bertembung dengannya. – Bernama, 7 Julai, 2020.
Komen