Siasatan kes terowong bawah laut tumpu keputusan exco, kata KM


Zaim Ibrahim

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow disiasat lebih empat jam ketika tampil ke pejabat SPRM Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

SIASATAN agensi antirasuah tertumpu kepada keputusan pemimpin kerajaan Pulau Pinang dalam projek terowong bawah laut, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Adun Padang Kota itu berkata, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak menyoal mengenai latar belakang dirinya semasa siasatan hari ini.

“Fokus dia adalah terhadap projek terowong dan pengesahan keputusan-keputusan exco terhadap projek ini.

“Satu jam setengah minit (beri keterangan)  untuk latar belakang saya, sekolah dimana dan bidang kuasa exco. Kena taip lagi, jadi lama jugalah,” katanya.

Chow yang disiasat selama lebih empat jam berkata tiada seberang dokumen diserahkan dan SPRM juga tidak memberitahu sama ada memanggilnya semula.

Beliau yang tiba pada kira-kira jam 9 pagi keluar di bangunan pejabat SPRM negeri di Georgetown pada sekitar jam 1.15 petang. 

Semalam tiga lagi anggota exco kerajaan Pulau Pinang tampil memberi keterangan kepada agensi antirasuah berkaitan dengan projek pembinaan terowong RM6.3 bilion itu.

Tiga yang terlibat adalah Jagdeep Singh Deo (kerajaan tempatan), Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga) dan Phee Boon Poh (kebajikan dan masyarakat).

Minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam ditahan reman selama empat hari dan hanya dibebaskan Sabtu lalu.

Pada hari yang sama, SPRM mengambil keterangan seorang lagi exco, Lim Hock Seng (kerja raya, utiliti dan pengangkutan) dan bekas exco Abdul Malik Abul Kassim (hal ehwal agama Islam).

Tindakan itu diambil selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengumumkan kertas siasatan projek pembinaan itu dalam fasa akhir.

Dakwaan kes rasuah itu dibangkitkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek tersebut.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut.

Tegasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen