Sri Ram nafi jumpa Apandi atas arahan Dr Mahathir


Bede Hong

Gopal Sri Ram nafi beliau diarahkan oleh Dr Mahathir Mohamad untuk memujuk bekas peguam negara Apandi Ali menahan Najib Razak yang ketika itu perdana menteri pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

PENDAKWA raya ad hoc Gopal Sri Ram menafikan beliau diarahkan oleh Dr Mahathir Mohamad untuk memujuk bekas peguam negara Apandi Ali menahan Najib Razak yang ketika itu perdana menteri pada Januari 2018.

Apandi dalam afidavitnya yang difailkan bulan lalu, mendakwa Sri Ram cuba memujuknya untuk Najib ditangkap atas tuduhan rasuah, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2018. Apandi sebelum itu membuat tuduhan berkenaan dalam satu posting di Facebook.

Dalam afidavit balas kepada afidavit difailkan oleh Najib dan Apandi pada 12 Jun, Sr Ram mengakui ada melawat Apandi di rumahnya.

“Saya melawat Apandi dan Puan Sri Faridah di rumah mereka atas kapasiti profesional. JR Tey (peguam) turut hadir bersama saya,” kata Sri Ram dalam satu dokumen mahkamah yang difailkan ke pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Ketika pertemuan di rumah mereka, saya berikan beberapa nasihat berkaitan hak keistimewaan profesional undang-undang. Maka, saya tidak dapat mendedahkannya.”

Sri Ram berkata Apandi kelihatan “kecewa” dengan serangan oleh cybertrooper.

“Dalam perbualan, saya nasihatkan Apandi yang ada bukti dalam domain awam terhadap Najib dan adalah tanggungjawab beliau untuk menahan dan mendakwa Najib.

“Tidak pernah sepanjang perbualan kami, saya sebut saya dihantar oleh Tun M (Dr Mahathir).”

Sri Ram berkata tidak ada perbincangan dengan Apandi berkaitan akaun bank sebuah firma guaman yang dibekukan, seperti didakwa oleh Apandi. – 7 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen