Chow Kon Yeow ke SPRM beri keterangan kes terowong bawah laut


Zaim Ibrahim

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow difahamkan akan memberi keterangan berhubung isu terowong bawah laut yang bernilai RM6.3 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow tampil ke ibu pejabat negeri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk beri keterangan.

Beliau dilihat tiba dengan kenderaan rasmi kerajaan negeri dan masuk ke pejabat itu pada kira-kira jam 8.50 pagi.

Chow difahamkan akan memberi keterangan berhubung isu terowong bawah laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Empat orang exco dan seorang bekas exco sudahpun dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

Semalam tiga lagi anggota exco kerajaan Pulau Pinang tampil memberi keterangan kepada agensi antirasuah berkaitan projek pembinaan terowong RM6.3 bilion itu.

Tiga yang terlibat adalah Jagdeep Singh Deo (kerajaan tempatan), Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga) dan Phee Boon Poh (kebajikan dan masyarakat).

Minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam ditahan reman selama empat hari dan hanya dibebaskan Sabtu lalu.

Pada hari yang sama, SPRM mengambil keterangan seorang lagi exco, Lim Hock Seng (kerja raya, utiliti dan pengangkutan) dan bekas exco Abdul Malik Abul Kassim (hal ehwal agama Islam).

Tindakan itu diambil selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengumumkan kertas siasatan projek pembinaan itu dalam fasa akhir.

Dakwaan kes rasuah itu dibangkitkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek tersebut.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut.

Tegasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen