Kafe Coliseum dibuka semula 2021


Bede Hong

afe Coliseum ditutup sejak PKP pada Mac lalu, kini sedang diubah suai sebelum dibuka semula tahun depan sempena ulang tahunnya ke-100. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Julai, 2020.

KAFE Coliseum yang ikonik, ditutup sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac lalu, kini bersiap sedia untuk kembali beroperasi dengan lebih bersemangat dan bakal menyambut ulang tahun ke-100 tahun depan.

Kafe yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, pada masa ini sedang menjalani proses pengubahsuaian untuk pembukaan semula tahun depan.

Dengan penutupannya sejak 18 Mac, pelanggan tertanya-tanya nasib restoran tertua di ibu kota itu.

“Kami tidak akan tutup selamanya,” kata pengurus pemasaran kafe itu, Azrain Azman.

Beliau berkata kebanyakan kakitangan kafe itu dipindahkan bertugas ke dua cawangan lain iaitu di Petaling Jaya dan pusat beli-belah Mid-Valley.

Azrain berkata syarikat membuat keputusan untuk membuat perubahan di kafe itu sempena meraikan ulang tahun ke-100, mungkin tepat pada masa sambutan Merdeka.

Keseluruhan tingkat pertama termasuk laluan sambungan ke hotel, akan diubah menjadi bar terbuka dilengkapi patio. Kafe di tingkat bawah akan diubah suai.

“Kami membaik pulih panel kayu dan sebahagian perabot lama. Kami memilih gaya klasik moden. Ia stail yang masih membawa imej kafe ini, dengan tambahan gaya baharu,” kata Azrain, menambah struktur bangunan warisan itu akan dinaik taraf.

Kafe di kawasan zaman penjajahan British itu dan terletak kurang 1km dari Dataran Merdeka, menjadi lokasi popular yang pernah menghidangkan stik kepada sesiapa saja, daripada kerabat diraja hinggalah ke pelombong timah.

Selepas operasinya ditutup pada Mac, ramai yang beranggapan ia menjadi mangsa pandemik Covid-19.

Kafe itu pernah mendapat perhatian ramai termasuk penulis terkenal Somerset Maugham pada 1920-an, malah jadi tumpuan kepada golongan petani dan pelombong bijih timah pada 1950-an.

Malah, ketika kedatangan komunis, pegawai British sering ke bar di kafe itu.

Hidangan paling terkenal kafe itu ialah chicken chop Hainan, bersama stik, dan menjadi kegemaran ramai termasuk Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, kata pengurus cawangan L Srigannth.

Antara pelanggan terkenal lain ialah kartunis Mohammad Nor Khalid atau Lat.

Sejak merdeka, hampir semua perdana menteri pernah menjamu selera di kafe itu termasuk Dr Mahathir Mohamad, yang kali terakhir ke situ bersama rakan-rakannya pada 2013. – 7 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen