Kartel bukan kartel


Hasmi Hashim

ORANG galak betul menyebutkan, “kartel-kartel-kartel”. Apakah mereka tahu dan faham benar, apa yang mereka sebutkan sebagai “kartel” itu?

Kalau saya berpeluang menuliskan skrip, saya yakin cerita “kartel” dalam politik Malaysia kalau pun tidak lebih baik, tapi pasti setaraf dengan filem-filem seperti “The Godfather” atau “The Irishman”. Saya boleh menuliskannya dari awal — dari detik yang ramai orang tidak tahu.

Dari mana istilah “kartel” itu wujud, siapa yang pertama kali menamakannya, kepada siapa ia dinamakan, dan untuk apa?

Kartel yang saya maksudkan ini melebihi daripada apa yang disangkakan oleh ramai orang — bukan “Kartel Azmin”, bukan “Kartel Rafizi”, dan bukan kartel sesiapa sahaja.

Saya katakan bukan, ada sebabnya.

Sebagai contoh, tidak kurang mereka yang mengaku sebagai “Kartel Azmin”, bukan kartel sama sekali. Tidak lebih hanya mengaku-ngaku begitu sahaja.

Saya tahu benar, ahli Parlimen Segamat misalnya, sejak bila dia kartel? Bukankah dahulu dia bersama NGO yang lain?

Begitu juga ahli Parlimen Batu Pahat, bahkan seluruh ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak — apa itu kartel pun mereka tidak tahu! Alih-alih muncul.

Cukup disebutkan satu dua nama sahaja untuk membuktikan bahawa ‘jenama’ kartel itu cuma digunakan atau diekplotasi. Sebab mengapa ia digunakan tidak lain adalah kerana kartel yang sebenar itu memang kuat. Logiknya kalau tidak kuat, orang tidak akan pakai.

Samalah macam beberapa pasukan bola sepak Inggeris — sampai ke Malaysia ada yang menyarungkan jersi. Walaupun mereka bukan warga negeri atau tempat pasukan bola sepak itu berasal.

Mereka yang menyarung jersi Liverpool misalnya, silap-silap Liverpool pun mereka tidak pernah sampai. Jadi, memakai jersi adalah sejenis jadi-jadian. Jauh sekali mampu menjadi pemainnya.

Mengaku itu dan ini adalah paling mudah sebagai jalan singkat dalam politik. Mengaku tidak perlu berbuat apa-apa. Memadai dengan mengaku untuk mendapatkan sesuatu — pangkat, pengaruh dan mungkin juga projek.

Saya mempunyai beberapa pengalaman bersama di dalam beberapa kelompok aktivis sejak 1998. Antaranya ialah kumpulan anak muda dan mahasiswa yang dikenali sebagai Universiti Bangsar Utama (UBU). Saya juga ada sedikit pengalaman di Jalan Telawi.

Sampai detik ini, ada yang mengaku mereka UBU dan ingin menceritakan kepada saya sejarah perjuangan anak muda dan mahasiswa di UBU. Begitu juga ada yang mengaku bahawa dia adalah “budak Telawi” dan mahu mengajar saya bagaimana caranya untuk membuat kegiatan intelektual, budaya dan politik. Mendengarkannya, saya terbahak ketawa.

Memang hidup ini memerlukan kesabaran. Namun saya juga tahu, perlu juga kita sedar bahawa dalam hidup ini kesabaran tetap ada batas. Kesabaran tanpa batas adalah pembodohan.

Setahu saya, kumpulan yang disebut “kartel” itu merupakan kelompok anak muda yang wujud selepas Pilihan Raya Umum 2013. Kewujudannya tidak diarahkan oleh sesiapa — ia adalah satu proses yang alami sepertimana banyak kelompok anak muda yang muncul sejak era Reformasi 1998.

Logik kewujudan kelompok dengan pelbagai nama itu ialah kerana tidak semua jawatan parti ada kekosongan, misalnya. Apakah kerana tanpa jawatan dalam parti — maksudnya parti pembangkang ketika itu — maka anak muda berkenaan tidak boleh menyumbang kepada perjuangan Reformasi?

Apakah apabila mereka bukan anggota parti, khususnya PKR, maka mereka tidak boleh memainkan peranan untuk membantu PKR? Dan apakah hanya dengan berjawatan dalam parti, barulah boleh seseorang berbakti kepada parti? Tidak, bukan?

Oleh itu, kumpulan yang menamakan diri sebagai “kartel” pun bersatu serta sanggup melakukan apa sahaja demi kebaikan parti. Kebetulan mereka pernah berkumpul di rumah saya — rumah yang tidak ada kerusi untuk buat duduk. Semua bersila beralaskan tikar mengkuang lusuh.

Apabila menteri besar Selangor pertama dari PKR gagal memainkan peranan dan dilihat tidak cukup membantu parti, lalu bersama kepimpinan lain, kartel bergerak untuk memastikan parti tidak diperlekeh oleh mana-mana pemimpin — apatah lagi pemimpin itu sudah bergelar MB.

Prinsip asas kartel ialah semua pemimpin naik kerana parti, bukan kerana dirinya sendiri. Kesetiaannya perlu kepada parti. Bukan kepada yang lain.

Istilah “kartel” bukan saya yang menamakannya. Tidak tersampai imaginasi saya untuk berfikir sejauh itu.

Istilah berkenaan dicadangkan oleh seorang yang sangat muda dan masih belajar di universiti. Dia kini sudah bergelar YB — dan yang paling menarik ialah, dia sendiri kekal dan tidak mengkhianati Keadilan.

Selepas usaha menukar MB Selangor berjaya, maka nama kartel semakin besar. Makin disebut-sebut orang. Mungkin sama seperti beberapa namanya kelompok aktivis lain sebelumnya seperti UBU dan Jalan Telawi itu tadi.

Masa sudah berlalu begitu lama, tapi kebencian — dan mungkin juga cemburu dan dendam — tidak ada usia.

Nama seperti Jalan Telawi ada juga yang cuba mengaitkan sebagai elit yang tidak berakar kepada rakyat di bawah. Kata begitu hanya jadi lawak seram bagi saya kerana yang menuduh tidak lebih merupakan “kluster kayangan” yang pulang entah dari negeri orang putih mabuk mabuk mana.

Apabila besar nama “kartel”, maka sudah tentu ada individu yang mahu mengambil kesempatan. Dalam ayat mudahnya, “tumpang tui”.

Dalam keadaan begitu pun, anak-anak muda yang bersama sejak awal dalam kumpulan yang digelar “Kartel” tidak merasa terjejas. Mereka (mungkin) tahu, orang yang menumpang — termasuk menumpang nama — adalah orang-orang yang lemah!

Dan, pada suatu ketika, tiba-tiba begitu ramai yang mengaku “aku Kartel”, meski entah dari buluh betong mana dia muncul. Apa yang penting bukan mengaku atau pinta dicop sebagai “kartel”. Apa yang penting ialah asas segala kartel tidak lain ialah kesetiaan. Kartel tidak akan berkhianat.

Kesetiaan anak-anak muda yang tidak ada jawatan dalam parti — bahkan mungkin juga tidak ada jawatan dalam kerajaan sekali pun — tidak lain adalah kepada perjuangan. Terlebih-lebih lagi kepada perjuangan parti yang dia sertai.

Anda akan hanya menjadi ‘kartel’ kalau yakin bahawa dalam keadaan susah dan senang, anda perlu bersama perjuangan membawa perubahan, menolak kezaliman. Bukan menjadi pengkhianat.

Saya tidak terkejut apabila meneliti nama-nama mereka yang mengkhianati PKR sejak tiga-empat bulan lepas — ramai sebenarnya bukan kartel. Mereka dari kelompok yang lain.

Dalam diam-diam, hati saya bangga kerana nama-nama Kartel yang saya kenal betul sejak sekitar tujuh-lapan tahun lalu, kekal bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Kalau saya berpeluang menuliskan, inilah skrip yang akan saya tuliskan. Kartel — kesetiaan, bukan pengkhianatan. – 7 Julai, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen