Saintis beri amaran Covid-19 boleh tersebar melalui udara


Seramai 239 saintis berkata titisan disebarkan dalam pelbagai ukuran apabila individu yang dijangkiti virus Covid-19 bercakap, batuk atau bersin. – Gambar AFP, 7 Julai, 2020.

KETIKA banyak negara mula melonggarkan perintah sekatan pergerakan, sekumpulan saintis antarabangsa semalam mendakwa virus Covid-19 boleh menjangkiti manusia melalui udara dalam jarak melebihi dua meter.

Kumpulan saintis seramai 239 orang itu dalam satu komen yang disasarkan kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mereka menyarankan beberapa langkah termasuk meningkatkan sistem pengalihan udara dalam rumah atau bangunan, pemasangan penapis udara dan lampu UV bergred tinggi serta mengelakkan kesesakan dalam bangunan dan kenderaan.

“Terdapat potensi virus tersebar melalui udara menerusi titisan kecil pada jarak sehingga beberapa meter atau keluasan bilik,” menurut penyelidik yang diketuai Lidia Morawska dari  Queensland University of Technology.

“Mencuci tangan dan amalan penjarakan sosial adalah tepat, tetapi kami berpandangan masih tidak cukup untuk melindungi dari titisan yang dilepaskan ke udara oleh mereka yang dijangkiti virus.”

Penyelidik berkata demikian dalam jurnal Oxford Academic, Clinical Infectious Diseases.

Mereka berkata titisan disebarkan apabila individu yang dijangkiti virus Covid-19 bercakap, batuk atau bersin, dalam pelbagai ukuran.

Bagi titisan bersaiz lebih lima ke 10 mikrometer - lebih kecil dari lebar sehelai rambut manusia - akan jatuh ke dalam beberapa saat pada jarak antara satu dan dua meter.

Titisan bersaiz demikian akan berada terapung di udara yang dipanggil keadaan “aerosol” selama beberapa jam dan bergerak sehingga berpuluh meter.

Terdapat perdebatan dalam komuniti penyelidik mengenai jangkitan Covid-19 melalui titisan ini.

Buat masa ini WHO berpendapat potensi jangkitan dari aerosol berlaku dalam “keadaan tertentu” terutamanya di hospital, contohnya ketika tiub dimasukkan ke dalam saluran pernafasan pesakit.

Beberapa kajian tentang penyebaran pula berpendapat aerosol dan penyebaran titisan kecil boleh berlaku dalam pelbagai keadaan.

Menurut kajian dalam laporan Emerging Infectious Diseases, virus menjangkiti pelanggan di sebuah restoran Cina pada Januari lalu melalui sebuah penyaman udara.

Satu lagi kajian dalam laporan Centers for Disease Control and Prevention menyatakan virus Covid-19 disebarkan melalui titisan kecil dari latihan koir di Washington pada Mac. Seramai 55 orang jatuh sakit dan dua meninggal dunia.

Ini mengukuhkan lagi dapatan bahawa bar dan kelab yang sesak dengan orang ramai muncul sebagai titik panas penularan, di mana titisan dalam pelbagai saiz dipercayai menyebarkan virus.

Walaupun mengakui bukti bahawa penyebaran melaui titisan kecil tidak lengkap, namun 239 penyelidik berkenaan berkata bukti bahawa penularan melalui titisan bersaiz besar juga tidak lengkap tetapi dijadikan asas bagi garis panduan kesihatan.

“Susulan itu, kita harus menangani semua potensi penting untuk mengekang penyebaran Covid-19,” kata mereka.

“Bukti yang tidak lengkap tidak mebuktikan ia tidak wujud,” kata Julian Tang, profesor mengenai kajian pernafasan di University of Leicester. Beliau antara 239 penyelidik yang terlibat dalam laporan.

“WHO berkata tiada bukti mencukupi bahawa penyebaran melaui udara/aerosol SARS-CoV-2 berlaku. Hujah kami ialah tiada bukti mencukupi bahawa aerosol/penyebaran udara tidak wujud.” – AFP, 7 Julai, 2020.
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen