Lelaki tempatan disyaki bersekongkol seludup masuk warga asing diberkas 


SEORANG lelaki warga tempatan ditahan di Jeti Seng Lee, Bagan Sekinchan kerana dipercayai membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini, kira-kira 5.30 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Supt Zulafendy Hassan berkata turut ditahan bersama lelaki berumur 32 tahun itu ialah tiga lelaki warga Indonesia disyaki tekong laut dan dua pendatang tanpa izin warganegara sama.

“Siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu dipercayai melakukan perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin berkenaan bersama tekong laut terbabit menggunakan bot nelayan.

“Turut dirampas sebuah bot pukat tunda kelas B, dua pukat tunda, satu peralatan Sistem Kedudukan Global (GPS), satu telefon bimbit, sebuah ‘walkie talkie’ dan juga mata wang Rupiah berjumlah 1.2 juta. Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM667,400,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata suspek yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963. – Bernama, 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen