Pasangan suami isteri, anak ditahan buat tuntutan palsu Perkeso 


SEPASANG suami isteri dan anak perempuan mereka, ditahan kerana disyaki menjadi dalang untuk membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia antara 35 hingga 67 tahun itu, ditahan pada kira-kira 2.15 petang ini di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, kesemua suspek disyaki bertindak sebagai ejen sindiket pemalsuan laporan perubatan Orang Berinsuran (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso, yang membuat permohonan tuntutan Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, dan Pencen ILAT.

“Laporan perubatan yang dikemukakan oleh mana-mana pemohon tersebut dipercayai mempunyai maklumat palsu, bagi membolehkan bayaran pampasan dibuat oleh Perkeso dan pemohon pula perlu membayar sejumlah wang kepada ejen terbabit, selepas memperoleh pampasan.

“Difahamkan, kesalahan itu dilakukan antara 2015 hingga 2018, dengan melibatkan nilai pampasan lebih RM1 juta,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kesemua suspek.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009).

“Ketiga-tiga mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk mendapatkan perintah permohonan reman,” katanya. – Bernama, 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen