RoS nafi terima permohonan Azmin daftar parti baharu


Mohamed Azmin Ali dilaporkan cuba mendaftarkan parti berbilang kaum tetapi berdepan masalah dengan RoS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

JABATAN Pertubuhan Malaysia (RoS) berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada Mohamed Azmin Ali untuk membentuk parti politik, beberapa hari selepas The Malaysian Insight melaporkan penyokong ahli politik itu sudah memohon bagi pendaftaran.

“Berdasarkan rekod, RoS menafikan menerima permohonan untuk membentuk parti politik seperti dinyatakan oleh sumber dalam laporan berita tersebut.

“Kenyataan daripada sumber itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali,” kata RoS dalam satu kenyataan hari ini.

RoS juga mendakwa laporan berita itu merosakkan nama baik agensi itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika perlu.

The Malaysian Insight melaporkan pada minggu lalu yang Azmin cuba mendaftarkan parti berbilang kaum tetapi berdepan masalah dengan RoS.

Sumber lain memberitahu portal berita yang struktur parti sudah ada, dan Azmin membentuk gerakan Pemuda sebagai pangkalan sokongan untuk parti itu.

Entiti belia baharu dikenali sebagai Pemuda Negara, dipimpin oleh sekutu rapat Azmin - setiausaha politiknya Hilman Idham dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Laporan itu berkata Pemuda Negara juga melantik penyelaras negeri yang terdiri daripada bekas pemimpin PKR dan juga Pengerusi Pasukan Petugas Jenayah Malaysia, R. Sri Sanjeevan.

Ia juga sudah melantik 222 penyelaras untuk mengawasi setiap kawasan Parlimen. – 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen