3 lagi exco Pulau Pinang beri keterangan di SPRM


Zaim Ibrahim

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh tampil ke pejabat SPRM pada jam 2.20 petang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

TIGA lagi anggota exco kerajaan Pulau Pinang tampil memberi keterangan kepada agensi antirasuah hari ini berkaitan dengan projek pembinaan terowong bawah laut.

Siasatan hari ini bermula dengan Exco Kerajaan Tempatan Jagdeep Singh Deo yang hadir ke pada 9.25 pagi dan hanya keluar selepas kira-kira dua jam setengah kemudian.

Beliau diikuti Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng pula hadir ke di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) negeri pada jam 11.20 pagi.

Chong hanya keluar pada jam 3.20 petang ini dan mengesahkan siasatan berkaitan dengan projek terowong bawah laut dan tiga lebuh raya.

“Ia adalah berkaitan projek tiga lebuh raya dan terowong bawah laut,” kata beliau kepada pemberita.

Ketika ditanya, Chong juga berkata proses tersebut dijalankan dengan baik dan beliau mungkin tidak dipanggil SPRM sekali lagi.

“Dia (SPRM) tanya latar belakang saya. Mereka ambil masa dua hingga tiga minit untuk pastikan minit mesyuarat.

“Saya rasa tidak (dipanggil lagi). Saya tidak tahu. Mereka cuma cakap selesai untuk hari ini,” jelasnya.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh pula tampil ke pejabat SPRM pada jam 2.20 petang bersama kenderaan rasmi kerajaan.

Terdahulu, tiga pegawai SPRM berpakaian seragam dilaporkan di banguna pejabat kerajaan negeri di Komtar pada jam 9.55 pagi.

Mereka dilihat terus menuju ke tingkat 53, yang menempatkan pejabat Jagdeep Singh.

Minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam ditahan reman selama empat hari dan hanya dibebaskan Sabtu lalu.

Pada hari yang sama, SPRM mengambil keterangan seorang lagi exco, Lim Hock Seng dan bekas exco Abdul Malik Abul Kassim.

Lim mengetuai portfolio kerja raya, utiliti dan pengangkutan manakala Abdul Malik bekas exco agama Islam, perdagangan dalam negeri dan pengguna.

Tindakan itu diambil selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengumumka kertas siasatan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion kini dalam fasa akhir.

Dakwaan kes rasuah itu dibangkitkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek tersebut.

Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut.

Tegasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya. – 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen