Umno tarik balik kes hina mahkamah terhadap CIMB


Bede Hong

Umno hari ini menarik balik permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank yang didakwa tidak melepaskan RM192 juta seperti diperintahkan mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

UMNO hari ini menarik balik permohonannya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank, berikutan parti politik itu telah mendapat semula kebenaran untuk akses kepada akaunnya di bank itu.

Peguam Tania Scivetti, yang mewakili  Umno memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan arahan telah diberikan kepada beliau untuk menarik balik permohonan itu, yang dijadual didengar hari ini.

Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan  penarikan balik berkenaan dan membatalkan permohonan berkenaan.

Sementara itu, peguam mewakili CIMB, Rabindra Nathan memaklumkan mahkamah bahawa Umno telah diberi akses kepada akaun miliknya sejak Jumaat lepas.

“Ia (pembekuan akaun) telah ditarik balik pada 2.22 petang, 3 Julai,” katanya.

Pada 2 Julai,  Umno memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB atas dakwaan bank itu tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Jun yang menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berhubung permohonan untuk melucut hak wang itu.

Pada 7 Februari, Hakim  Mohamed Zaini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM192,965,413.61 daripada Umno yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Wang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Umno.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata tidak dapat dibuktikan dengan pasti bahawa wang itu diberikan oleh bekas perdana menteri dan tiada sebarang keterangan untuk membuktikan ia diperoleh menerusi aktiviti tidak sah.

Permohonan lucut hak itu difailkan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Bernama, 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen