VENEZUELA mencipta mata wang digital, Petro, bagi menangani sekatan kewangan dikenakan Amerika Syarikat, kata Presiden Nicolas Maduro pada Ahad.
Petro akan disokong oleh simpanan minyak dan gas Venezuela serta simpanan emas dan berliannya, kata presiden itu pada rancangan telivisyen mingguan.
“Ini akan membolehkan kita bergerak menuju bentuk pembiayaan kewangan baru antarabangsa untuk pembangunan ekonomi dan sosial negara,” kata presiden itu lagi.
Kerajaan juga mengumumkan pembentukan “pemerhati sekatan rantaian”- platform perisian komputer untuk membeli dan menjual mata wang digital.
Walaupun presiden tidak memberi penjelasan lanjut, penganalisis seperti Henkel Garcia melihat kemungkinan usaha berjaya sangat rendah.
“Awak boleh binanya, tetapi kepercayaan, penerimaan dan penggunaan sebenarnya akan menentukan kejayaan mata wang kripto. Bagi saya, ia sangat terhad (kemungkinan kejayaan). Bolivar (mata wang Venezuela) juga disokong oleh simpanan dan tidak kukuh,” kata pengarah syarikat perunding, Econometrica, Garcia.
“Keyakinan dalam negara bergantung kepada tahap pengeluaran dan kekayaan yang dijana. Misalnya, rakyat percayakan dolar kerana kekayaan dikaitkan dengannya,” katanya.
Pengumuman itu dikeluarkan ketika Venezuela berdepan masalah kewangan kritikal selepas agensi rating dan peminjam mengumumkan yang syarikat milik kerajaan PDSVA dan kerajaan gagal membayar faedah hutang dan pinjaman asas bon.
Maduro menyalahkan sekatan dikenakan Amerika Syarikat pada Ogos melarang rakyat dan syarikat Amerika membeli apa sahaja bon kerajaan Venezuela dan PDVSA.
Venezuela terheret dalam kejatuhan ekonomi teruk disebabkan penurunan harga minyak dan kekurangan pengeluaran minyak. Petroleum adalah sumber utama mata wangnya.
Sejak tahun lepas, mata wangnya, bolivar, jatuh 95.5% berbanding dolar Amerika dalam pasaran gelap.
Mata wang digital tidak asing di Venezuela- dianggap pakar sebagai tempat utama pengeluaran bitcoin dengan kos minimum.
Dianggarkan puluhan ribu orang melombong bitcoin bagi melindungi diri mereka daripada inflasi- dijangka melepasi 2,300 peratus pada 2018- dengan menukar pendapatan mereka kepada dolar atau bitcoin.
Di Venezuela, undang-undang tidak secara langsung mengharamkan perlombongan bitcoin- pakar malah mengatakan pegawai kerajaan juga terlibat- tetapi pihak berkuasa pernah mendakwa mereka yang terlibat kerana mencuri tenaga. – 4 Disember, 2017.
Komen