Seorang maut, 2 cedera dalam kebakaran 


SEORANG lelaki maut manakala dua lagi adik-beradiknya termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera, dalam kebakaran di Kampung Pulau Pisang dekat Machang Bubok di Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abdul Samad berkata, mangsa Razmie Abdul Razak, 26, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam kira-kira jam 9.50 pagi tadi, setelah mengalami kecederaan teruk akibat melecur hampir keseluruhan badan.

“Dua lagi mangsa Ramizie Abdul Razak, 34 dan adiknya Razimie Abdul Razak, 6, masing-masing mengalami kecederaan pada anggota tubuh badan dan cedera ringan, pada bahagian telinga kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 12.58 tengah hari itu, ibu kepada ketiga-tiga mangsa Zurina Mohamad Lazim @ Othman, 47, ketika itu berada di dapur sedang memasak, manakala ketiga-tiga adik beradik berkenaan berada di ruang tamu rumah tersebut.

Beliau berkata, semasa kejadian wanita itu berada di dapur sedang memasak dan terdengar bunyi seperti kayu terbakar dan wanita itu kemudian terus pergi melihat di ruang tamu rumah dan didapati terdapat barang yang terbakar iaitu sebuah kerusi malas, sofa dan wayar rumah selain kecederaan yang dialami anak-anaknya.

“Siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya. – Bernama, 5 Julai, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen