Polis soal peserta Parlimen Digital, kata penganjur


The Malaysian Insight

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad antara pemimpin pembangkang yang dilihat menyokong inisiatif belia mengadakan Parlimen Digital. – Gambar Facebook, 5 Julai, 2020.

PIHAK berkuasa telah menyoal peserta Parlimen Digital berkenaan kesetiaan politik dan motif mereka dalam mengatur platform yang dipimpin oleh golongan belia, kata penganjur hari ini.

Mereka mengatakan polis telah menghubungi beberapa peserta melalui media sosial untuk bertanya mengenai kaitan program dengan mana-mana pihak pembangkang.

Bagaimanapun tiada satu pun daripada penganjur yang disoal polis.

“Antara yang disoal kepada peserta adalah berkenaan adakah Parlimen Digital diatur oleh kumpulan politik.

“Mereka kemudian ditanya adakah pihak politik antara yang terlibat dalam penganjuran,” kata seorang ahli sekretarit kepada The Malaysian Insight. 

Polis telah menyoal enam peserta di media sosial mengenai perincian program dan penyertaan mereka dalam Parlimen Digital.

“Para peserta disoal di media sosial dan alamat rumah serta maklumat peribadi mereka turut diminta,” kata penganjur.

Parlimen Digital dianjurkan oleh beberapa kumpulan yang diketuai oleh golongan belia.

Ketiga-tiga kumpulan, Challenger Malaysia, Undi 18 dan Liga Demokratik Malaysia mengambil inisiatif ini untuk membuktikan bahawa sidang Parlimen dapat dilakukan secara dalam talian, setelah sesi Dewan Rakyat disingkatkan menjadi sehari di tengah-tengah ketakutan Covid-19.

Sekretariat Parlimen Digital dalam satu kenyataan hari ini berkata, polis sepatutnya menghubungi penganjur untuk penjelasan berhubung inisiatif itu, yang dikatakan neutral.

“Kami sebagai penganjur akan berusaha untuk menjaga keneutralan platform Parlimen Digital.

“Kami harap dapat bertemu dengan polis untuk menjelaskan sebarang masalah yang ada,” kata sekretariat itu dalam kenyataannya.

Tambahnya, semua peserta dipilih berdasarkan prestasi peribadi mereka dan tiada kaitan dengan kecenderungan politik mereka.

Sekretariat juga menimbulkan kebimbangan mengenai cara peserta disoal siasat oleh polis.

“Ada peserta yang dipanggil ke balai polis untuk disoal siasat tanpa diiringi peguam, manakala ada yang dijemput untuk perbincangan.”

Peserta mewakili 222 kawasan untuk membahaskan pelbagai usul dan sesi terakhir berakhir hari ini.

Pemimpin pembangkang, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim telah menunjukkan sokongan terhadap program tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang juga peguam Ramkarpal Singh turut membidas tindakan polis menyoal semua peserta.

“Ini boleh dilihat sebagai tindakan intimidasi terhadap inisiatif yang damai yang bertujuan mendorong pemberdayaan belia.

“Saya tidak melihat bagaimana program itu melanggar mana-mana undang-undang, polis tentunya tiada urusan untuk campur tangan,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

Pengerusi biro undang-undang DAP itu juga berkata, inisiatif itu adalah bertujuan untuk mempromosikan wacana cerdas dan polis dilihat sebagai menyekat kebebasan bersuara.

Ramkarpal turut menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk menjelaskan mengapa siasatan itu perlu dan meminta ia dihentikan segera.– 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen