Jawatan PM bukan untuk Umno pajak gadai, kata Puad Zarkashi


Pendirian Umno mengenai calon perdana menteri perlu mendapat persetujuan ahli di akar umbi, kata ahli Majlis Tertinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

JAWATAN perdana menteri bukan untuk dipajak gadai kepada Bersatu, kata seorang lagi pemimpin Umno ketika parti itu dilihat kini berbahagi pandangan mengenai cadangan mencalonkan semula Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata pendirian Umno mengenai calon perdana menteri perlu mendapat persetujuan ahli di akar umbi.

“Umno kena beringat, konsensus Majlis Tertinggi dan pandangan ahli di bawah perlu dihormati.

“Keputusan besar seperti memajak gadai jawatan Perdana Menteri kepada Bersatu perlu mendapat persetujuan dari akar umbi,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

“Jangan apa yang terjadi kepada Pakatan Harapan terjadi kepada Muafakat  Nasional,” tambahnya, merujuk pada gabungan kerjasama Umno dan PAS yang dibentuk pada September 2019.

Menurut Puad, Umno tidak boleh dijadikan pajak gadai untuk jawatan atau apa-apa habuan.

“Cukuplah Umno dijadikan pajak gadai oleh mereka yang melompat masuk Bersatu kerana mengejar jawatan menteri, timbalan menteri dan peruntukan pembangunan,” katanya.

Awal minggu ini, setiausaha bersama sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa berkata Umno dan PAS secara prinsip setuju untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bersama kedua-dua parti baru-baru ini.

Annuar membuat kenyataan itu sebagai mengesahkan kenyataan presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti Islam itu menyokong kepimpinan Muhyiddin untuk terus dicalonkan sebagai perdana menteri dalam pilihan raya umum ke-15, yang ura-uranya akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

PAS juga katanya menyokong kerjasama dalam Perikatan Nasional demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Abdul Hadi membuat kenyataan itu sehari selepas ketua parti yang mendukung PN mengadakan pertemuan yang dilapor untuk menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin di Putrajaya pada Selasa.

Kenyataan Annuar bagaimanapun dikritik oleh beberapa pemimpin Umno antaranya naib presiden Mohamed Khaled Nordin, pemimpin veteran Shahrir Samad, dan penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah.

Khaled berkata Umno tidak harus terburu-buru mengehadkan calonnya ketika parti sendiri ada beberapa calon yang berwibawa dan layak.

Beliau menyebut lima nama iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, timbalan presiden Mohamad Hasan, naib presiden Ismail Sabri, bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, dan bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin sebagai calon yang boleh diketengahkan.

“Mereka ini semuanya berpotensi dan adalah ‘prime miniter’s material’. Jadi terpulanglah kepada Umno dan kepimpinannya untuk menemui kesepakatan bagi menamakan calonnya,” katanya.

Shahrir pula berkata ada banyak hal yang perlu diselesaikan sebelum Umno membuat ketetapan seperti itu.

Tengku Razaleigh pula dalam satu wawancara dengan Channel News Asia, sebuah stesen berita di Singapura, berkata beliau tidak fikir Umno akan menyokong Muhyiddin jadi calon perdana menteri dalam pilihan raya akan datang. – 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen