POLIS menahan 12 individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi loteri awam haram dan judi dalam talian menerusi Op Dadu di beberapa lokasi berbeza sekitar Butterworth dalam beberapa serbuan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata 10 premis diserbu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU dalam operasi bermula 3 petang.
“Enam daripadanya didapati menjalankan kegiatan judi loteri awam haram manakala empat premis lagi menjalankan kegiatan judi dalam talian. Lokasi terbabit, dua di Tasek Gelugor, tiga di Butterworth, dua di Sungai Dua, dua di Mak Mandin dan satu premis di Seri Pinang,” katanya di Butterworth, hari ini.
Katanya, hasil serbuan tersebut polis menahan 12 individu, iaitu sembilan lelaki dan tiga wanita yang kesemuanya berumur lingkungan 16 hingga 40 tahun.
“Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD SPU untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.
Pada masa sama, Noorzainy menggesa orang ramai menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti perjudian seumpama itu sebagai usaha membanters kegiatan tersebut.– Bernama, 5 Julai, 2020.
Komen