Australia siasat persaingan tak adil Facebook dan Google


Kajian mendapati, Facebook dan Google menguasai 35-40% pasaran media dan pengiklanan Australia, mewujudkan kebimbangan wujudnya persaingan tak adil menekan media tradisional. – Gambar AFP, 4 Disember, 2017.

PLATFORM digital seperti Facebook dan Google akan menjadi tumpuan siasatan di Australia yang mengumumkan pada Isnin mereka akan menilai kesan kehadirannya kepada persaingan dalam pasaran media dan pengiklanan.

Seperti yang berlaku di seluruh dunia, sumber tradisional pengedaran dan pendapatan pengiklanan sudah semakin berkurangan dan kumpulan media Australia semakin dihimpit persaingan platform gergasi dunia itu.

Pembekal tempatan tidak lagi boleh mengharapkan iklan media cetak untuk meningkatkan jualan mereka, dan pengiklanan digital masih belum mampu merapatkan jurang persaingan.

Laporan Morgan Stanley tahun lepas menganggarkan dua gergasi internet itu merampas 35-40% jumlah pendapatan pengiklanan Australia bernilai Aus$13.9 bilion, dan kerajaan kini bertindak mengarahkan pengawal persaingan menyiasat kesan kehadiran mereka dalam pasaran negara itu.

Siasatan Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) akan menilai kesan enjin carian, pengendali media sosial dan platform kandungan digital lain kepada pasaran media dan pengiklanan.

“ACCC akan menyiasat dengan fikiran terbuka dan akan mengkaji bagaimana platform digital seperti Facebook dan Google beroperasi untuk memahami sepenuhnya pengaruh mereka di Australia,” kata Pengerusi ACCC Rod Sims.

Sims juga mengatakan siasatan akan menilai trend jangka masa panjang dan kesan perubahan teknologi kepada persaingan.

“Kami juga akan mempertimbang kesan perbezaan maklumat antara pembekal platform digital dan pengiklan serta pengguna,” tambahnya.

Laporan kajian terbaru ACCC mendapati banyak pengiklan sudah kurang berbelanja untuk pengiklanan media cetak dan mencari alternative lain bagi mendekati kumpulan sasaran mereka termasuklah media digital.

ACCC mempunyai hak mewajibkan pihak terlibat memberikan maklumat dan dijangka menilai pembekal kandungan dalam talian, media arus perdana, pembekal platform, pengiklan, wartawan, pengguna dan kumpulan perniagaan kecil berkepentingan.

Laporan awal dijangka siap pada Disember tahun depan dan laporan akhir pada Jun 2019. – AFP, 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen