Muafakat Nasional terima Muhyiddin sebagai PM pada PRU15, kata Tuan Ibrahim


Zaim Ibrahim

Muhyiddin Yassin diterima rakyat, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2020.

UMNO dan PAS akan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk terus menjawat jawatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 kerana beliau diterima rakyat, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata, ia merupakan keputusan gabungan Muafakat Nasional (MN) serta membuktikan mereka tidak tamak.

“Sokong Muhyiddin Yassin adalah keputusan MN. Kita mendukung beliau dan kita tidak tamak. 

“Kita ada calon-calon (perdana menteri) lain, ramai. Tetapi apa yang lebih penting Muhyiddin Yassin diterima rakyat.

“Apa yang beliau buat setakat ini sangat baik untuk negara, jadi kita teruskan,” katanya kepada media di Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, perbincangan sama ada Bersatu wajar menyertai Muafakat Nasional masih berjalan.

Jelasnya, perkara itu dibincangkan dalam jawatankuasa rundingan parti.

“Kita dalam perbincangan di dalam jawatankuasa rundingan. Ada pertemuan baru-baru ini dalam mesyuarat presiden.

“Pertemuan akan tetap diteruskan,” katanya menjawab soalan wartawan sama ada Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional atau hanya akan berada bersama Perikatan Nasional.

Muafakat Nasional adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS selepas kalah pilihan raya 2018.

Ia membolehkan mereka bekerjasama secara politik seperti menyokong satu sama lain pada pilihan raya kecil walaupun ia bukanlah gabungan politik rasmi.

Muhyiddin membentuk Perikatan Nasional hujung Februari lalu selepas membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan bersama-sama Umno, PAS, sekutu Azmin Ali daripada PKR dan Gabungan Parti Sarawak serta beberapa parti Sabah. Tindakan itu menyebabkan kerajaan PH tumbang. – 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen