Tanpa kenduri kahwin, restoran Cina berdepan masa sukar


Angie Tan

Kebanyakan pengantin mengambil sikap tunggu dan lihat untuk mengadakan kenduri kahwin menyebabkan restoran besar Cina kini tiada tempahan langsung sehingga hujung tahun. – Gambar AFP, 5 Julai, 2020.

TEMPOH enam bulan sehingga akhir tahun ini akan menjadi masa paling sunyi dan sukar untuk restoran besar Cina kerana mereka tidak mempunya sebarang tempahan majlis kahwin.

Walaupun Putrajaya sudah membenarkan rakyat menyambung semula aktiviti sosial bermula 1 Julai, pengendali restoran berkata ia tidak mengurangkan kebimbangan dan ketakutan orang awam yang kini mengambil sikap tunggu dan lihat.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang perniagaan naik 25% tetapi ini disebabkan pertambahan tempahan majlis kecil-kecilan.

Tidak banyak perubahan besar dalam tempahan perkahwinan kerana kebanyakan pasangan mengambil sikap tunggu dan lihat dan menanti wabak Covid-19 benar-benar reda, kata mereka lagi.

Presiden Persatuan Chef dan Restoran Koo See Malaysia Wong Teu Hoon berkata semua majlis kahwin dibatalkan kerana wabak itu dan walaupun sekatan dilonggarkan, musim kahwin sudah berakhir.

Wong berkata musim kahwin seterusnya adalah pada September, tetapi kebanyakan pasangan kini bimbang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pengantin baharu selalunya menjemput hampir 500 orang ke kenduri mereka, tetapi sekarang mereka tertanya-tanya sama ada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan berakhir 31 Ogos atau akan dilanjutkan lagi.

“Jadi mereka fikir, ‘tunggulah lepas tu baru buat buat keputusan,” katanya.

Selain bimbangkan wabak Covid-19, pengantin juga bimbang mereka tidak dapat mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa yang boleh menyebabkan mereka didakwa kerana melanggarnya. – Gambar AFP, 5 Julai, 2020.

Pengarah Restoran Makanan Laut Xin Yang Tan Boon Guan berkata selalunya sukar untuk buat tempahan kenduri kahwin di restoran pada hujung tahun, terutama pada hujung minggu.

“Malah ada antara mereka (pengantin baharu) yang buat tempahan pada hari bekerja.”

Tan berkata kakitangan restoran selalunya kerja sampai kepenatan pada tarikh tertentu seperti 10 Oktober atau 12 Disember kerana banyak kenduri kahwin berlangsung.

“Tetapi sekarang, semua tempahan hujung tahun ini ditangguhkan ke tahun depan. Ada pelanggan yang masih terkandas di Singapura.

“Ada yang sepatutnya ke luar negara untuk ambil gambar perkahwinan tetapi itu juga ditangguhkan. Ada yang tangguh terus majlis kahwin mereka,” kata Tan lagi.

Wong yang juga pemilik Restoran Lu Yeh Yen di Melaka berkata, beliau menerima tempahan untuk majlis kecil antara 30 hingga 60 orang pada Julai walaupun PKPP masih berlangsung.

“Ada majlis kelab atau persatuan, makan malam kumpulan dan sambutan hari lahir. Tak ramai orang sangat.

“Dan walaupun terdapat peningkatan 25% tempahan, perniagaan masih sukar.

“Bagaimanapun, kami tiada pilihan selain kembali beroperasi perlahan-lahan dan harap pelanggan yakin untuk datang balik,” katanya.

Tan bersetuju yang pengendali restoran kini berdepan risiko kehilangan perniagaan dan perlu bersaing antara satu sama lain.

“Untuk sektor restoran kembali pulih, kami perlu bergantung kepada majlis dan sambutan kecil-kecilan tetapi ia tidak cukup. Restoran perlu pelbagaikan perkhidmatan dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Selalunya hadirin kenduri kahwin Cina mencecah 500 orang dan dijalankan penuh meriah, syarat dikenakan kerajaan untuk ia diadakan pada musim wabak menyebabkan ramai mengambil sikap tunggu dan lihat. – Gambar AFP, 5 Julai, 2020.

Ketua BL Small Catering Buffet Brandy Chun berkata beliau menerima banyak pertanyaan bufet kecil sejak PKPP bermula tetapi masih tidak banyak tempahan dibuat.

“Ada peningkatan untuk sambutan Hari Bapa pada hujung minggu, dengan beberapa tempahan bufet untuk keluarga antara 10 dan 20 orang,” kata Chun.

Bagaimanapun, masih tiada tempahan untuk majlis kahwin.

“Saya tak fikir akan ada banyak tempahan majlis kahwin dalam jangka pendek kerana orang masih bimbang sama ada mereka dapat patuh SOP.

“Walaupun mereka teruskan rancangan berkahwin, mereka pastinya akan jemput orang sikit sahaja,” katanya.

Chun menjangkakan sekurang-kurangnya tiga bulan lagi diperlukan untuk orang kembali yakin mengadakan kenduri kahwin.

“Bulan September, November dan Disember selalunya musim puncak.

“Setakat ini, kami masih tidak terima sebarang tempahan untuk musim puncak. Jadi, kalau pada September situasi tak berubah, kami terpaksa tunggu tahun depan,” katanya.

Putrajaya melonggarkan sekatan untuk majlis kahwin, agama, sekolah dan sambutan serta majlis hari jadi bermula 1 Julai.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata majlis itu tidak boleh lebih lima jam dan lebih 250 jemputan, penjarakan sosial juga perlu dipatuhi.

Katanya, pihak berkuasa akan memantau rapat majlis berkenaan bagi memastikan pematuhan SOP.

Malaysia setakat ini melaporkan 8,648 kes Covid-19 dengan 121 korban. – 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen