SYARIKAT gergasi media sosial Facebook akan membuka pejabat baru di London pada Isnin yang disasarkan untuk menjadi pusat kejuruteraan terbesar di luar Amerika, kata syarikat itu.
Pelaburan itu akan dilakukan ke atas sebuah pejabat berhampiran Oxford Street yang berada di tengah pusat bandar yang juga akan mencipta lebih 800 pekerjaan, separuh daripadanya dalam bidang kejuruteraan.
Syarikat itu yang sudah membuka pejabat pertamanya di London sepuluh tahun lalu, berkata pejabat baru itu akan membolehkan tenaga kerja tempatannya mencecah 2,300 orang menjelang hujung tahun depan, sebuah tanda yang “mereka komited (untuk berada) di UK”.
Negara itu “sudah menjadi sebahagian besar kisah Facecook sejak dekad lepas,” kata Naib Presiden Facebook untuk Eropah, Timur Tengah dan Asia, Nicola Mendelsohn kepada Britain’s Press Association.
“Ekosistem keusahawanan yang menggalakkan di UK serta reputasi antarabangsanya untuk kecemerlangan kejuruteraan menjadikan ia salah satu tempat terbaik di dunia untuk membina syarikat teknologi,” katanya.
Ruang pejabat seluas 23,000 kaki permeter (247,000 kaki persegi) itu direka oleh arkitek Frank Gehry dan akan meliputi tujuh tingkat termasuklah ruang awam.
Di situ, sebuah inkubator dikenali sebagai “LDN-LAB” untuk kajian dan perkembangan teknologi baru juga diperkenalkan.
Menteri Kewangan Philip Hammond berkata ia menunjukkan yang Britain adalah “tempat terbaik” untuk mengembangkan perniagaan.
“Ia adalah tanda keyakinan kepada negara kita bagi syarikat berinovatif seperti Facebook terus melabur, dan ia adalah khabar baik kerana mereka akan menggaji lebih 800 orang pekerja mahir tahun depan,” katanya.
Datuk Bandar London Sadiq Khan pula mengatakan komitmen Facebook membuktikan yang bandar itu kekal “sebagai peneraju dalam inovasi global” serta menjangkakan inkubator itu akan “membuka jalan kepada generasi baru pengamal teknologi dunia.” – AFP, 4 Disember, 2017.
Komen