BEBERAPA serangan udara di Syria semalam membunuh sekurang-kurangnya 25 orang awam dan mencederakan puluhan yang lain di kawasan dikuasai pemberontak di Timur Ghouta berhampiran Damascus, kata kumpulan pemerhati.
Serangan terburuk berlaku di bandar Hammuriyeh membunuh 17 orang awam termasuk enam orang kanak-kanak, kata Syrian Observatory for Human Rights berpangkalan di Britain.
Serangan udara turut berlaku di bandar Arbeen, Beit Sawa, Harasta dan Misraba yang membunuh lapan orang awam.
Kumpulan pemerhati itu mengatakan sekurang-kurangnya 75 orang lagi cedera dan jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan ramai mangsa cedera parah.
Di Hammuriyeh, seorang jurugambar AFP melihat lelaki mengangkut badan mangsa yang ditutup dengan selimut biru di celah runtuhan bandar.
Serangan itu dikatakan mengenai sebuah kawasan kediaman awam, memusnahkan sebuah kedai dan menyebabkan debu berterbangan di seluruh bandar.
Mangsa di bawa ke klinik berhampiran dan seorang doktor dilihat sedang merawat seorang lelaki yang terkena serpihan letupan di kakinya.
Dalam sebuah bilik lagi, mayat seorang kanak-kanak lelaki berlumuran darah turut kelihatan.
Timur Ghouta, salah sebuah kubu kuat pemberontak Syria sering menjadi tumpuan serangan kerajaan sejak 2013 menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Dianggarkan 400,000 orang masih berada di kawasan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran yang ratusan orang berdepan risiko kematian sekiranya tidak dipindahkan bagi mendapatkan rawatan perubatan kecemasan.
Kawasan ini adalah salah satu daripada empat kawasan yang dipersetujui menjadi “kawasan pelepasan” tahun ini oleh rejim pemerintah yang disokong Rusia dan Iran serta pemberontak yang disokong Turki bagi menyekat keganasan dalam konflik perang saudara di Syria.
Kerajaan Syria minggu lepas bersetuju melakukan genjatan senjata di kawasan itu sempena perbincangan damai diterajui PBB yang sedang dijalankan di Geneva.
Tetapi serangan udara bertubi-tubi di kawasan taklukan pemberontak berhampiran ibu kota Syria masih berlaku dan 11 orang awam lagi terbunuh pada Sabtu.
Kumpulan pemerhati semalam mengatakan yang jumlah kematian orang awam di kawasan Timur Ghouta sekurang-kurangnya berjumlah 191 orang, termasuk 43 kanak-kanak dalam masa hanya tiga minggu.
Lebih daripada 340,000 orang awam terbunuh di Syria sejak konflik bermula pada Mac 2011 dengan protes anti kerajaan. – AFP, 4 Disember, 2017.
Komen