Sekolah tahfiz, madrasah perlu daftar sebelum sesi bermula, kata Dr Noor Hisham


Noel Achariam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekolah tahfiz merupakan salah satu sasaran kementerian untuk menjalankan ujian saringan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan menggesa sekolah tahfiz dan madrasah yang masih belum mendaftar dengan pihak berkuasa agar berbuat demikian sebelum sesi persekolahan bermula hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian boleh menjalankan ujian saringan Covid-19 sekiranya tempat ini berdaftar.

“Kita akan jalanan ujian saringan secara berperingkat. Sekolah tahfiz adalah salah satu sasaran kami untuk ujian saringan.

“Mereka perlu berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata, sesi persekolahan bagi pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan bermula pada 15 Julai.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini 733 daripada 20,405 orang yang menjalani ujian dari madrasah dan sekolah tahfiz dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, ujian itu dijalankan terhadap guru, pelajar dan kakitangan madrasah serta sekolah tahfiz.

“Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti 453 madrasah dan sekolah tahfiz dengan 24,324 pelajar, guru dan kakitangan.

“Ujian saringan sedang dijalankan,” katanya. – 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen