POLIS menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan berulat dan kembung di sebuah ladang kelapa sawit, Jalan Bidor-Sungkai di Bidor, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya berjaya menahan suspek pertama berusia 38 tahun pada hari Rabu lepas di Tanjung Tualang manakala suspek kedua berumur 41 tahun pula ditahan di Jalan Patani, Pulau Pinang, semalam.
“Permohonan reman ke atas tangkapan telah diberikan selama seminggu bermula semalam daripada Mahkamah Majistret Tapah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya identiti wanita itu telah dikenal pasti melalui perbandingan cap jari, dan semakan rekod di Jabatan Pendaftaran Negara mendapati wanita itu warga tempatan berumur 47 tahun.
Beliau berkara bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menemukan kesan kecederaan tisu lembut pada wanita itu disebabkan objek tumpul berpadanan dengan objek seperti penumbuk atau yang seumpama dengannya.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui motif kejadian. Kedua-dua suspek dipercayai mengenali wanita itu,” katanya. – Bernama, 3 Julai, 2020.
Komen