Pendaftaran Perikatan berdepan masalah persetujuan, kata Nur Jazlan


Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional dan Gabungan Parti Sarawak hanya menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri PN, kata Nur Jazlan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

USAHA pendaftaran Perikatan Nasional sebagai gabungan politik rasmi nampaknya tidak menerima sokongan Umno, PAS dan parti Sarawak, kata Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, lapor sebuah portal berita.

Bercakap dengan Suara Merdeka Malaysia, bekas ahli Parlimen Pulai itu berkata Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional dan Gabungan Parti Sarawak hanya menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri PN.

Nur Jazlan berkata mesyuarat antara parti PN pada 1 Julai lalu gagal mencapai keputusan berkaitan pendaftaran PN- dibentuk pada Februari- secara rasmi untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-15.

PN yang terdiri daripada Umno, PAS, GPS dan 30 ahli Parlimen sekutu Muhyiddin daripada Bersatu, masih belum mendaftar secara rasmi seperti Muafakat Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Tujuan murni sesetengah individu Bersatu mungkin menimbulkan keresahan di antara pemimpin MN dan GPS yang hanya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri di Parlimen sebagai gabungan Ahli Parlimen bersekutu yang dipanggil Perikatan Nasional,” Nur Jazlan dipetik berkata.

Sebelum ini dilaporkan yang selepas mesyuarat itu, pemimpin Umno, PAS dan GPS mengulangi sokongan terhadap Muhyiddin sekali lagi.

Bagaimanapun tiada kenyataan sama ada PN akan didaftarkan secara rasmi dikeluarkan.

Nur Jazlan membuat spekulasi yang sebilangan pemimpin yang hadir mesyuarat tidak selesa dengan idea pendaftaran PN kerana ramai pengundi masih belum mengenali kerjasama politik itu.

Tambahnya lagi, Bersatu yang dipimpin Muhyiddin juga masih belum mempunyai sokongan akar umbi walaupun sudah dibentuk sejak 2017 dan membantu PH menang PRU14 lalu.

“Ditambah lagi parti ini masih dalam peringkat penaja kerana pemilihan pemimpin parti yang pertamanya hanya akan diadakan pada akhir September depan

“Mungkin ramai hadirinnya bimbang logo parti PN ini tidak akan dikenali dan berguna dalam PRU ke-15 akan datang berbanding logo BN atau PAS.

“Jangan sampai kelemahan Bersatu yang tidak berakar umbi ini berjangkit kepada PN sekiranya ia ditubuhkan secara rasmi dan akhirnya melemahkan MN dan GPS,” katanya. – 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen