Mengapa tak jemput wakil Perikatan bermesyuarat di Selangor, Noh Omar tanya Azmin


Noh Omar mendakwa wakil rakyat PN terutama Umno dan PAS tidak dijemput Azmin Ali ke mesyuarat kerjasama Selangor dan kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

WAKIL rakyat Perikatan Nasional tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan (MTPNg) Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Kanan Mohamad Azmin Ali, Isnin lalu.

Ketua Umno Selangor Nor Omar mendakwa Azmin menjemput bekas sekutunya daripada Pakatan Harapan termasuk Menteri Besar Amirudin Shari tetapi tidak memanjangkan jemputan kepada rakannya dalam PN.

“Adalah amat luar biasa dan pelik apabila wakil-wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Adun PN Selangor tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut sebaliknya menteri besar PH pula djemput hadir.

“Adakah menteri besar Selangor kini telah menyertai kerajaan PN? Atau adakah Azmin menganggap beliau masih menteri besar Selangor dari PH?” tanya Noh melalui catatan di Facebooknya.

Azmin pada Isnin lalu di Twitter memberitahu mesyuarat berkenaan adalah platform kerjasama antara negeri pembangkang dan kerajaan persekutuan.

Menteri perdagagan antarabangsa dan industri itu berkata kerjasama antara negeri dan persekutuan adalah penting bagi memastikan pelan pembangunan menyeluruh dapat disediakan untuk rakyat.

Noh mengingatkan Azmin supaya tidak melupai wakil rakyat Umno dan PAS yang membentuk kerajaan PN di masa depan.

“Selepas ini libatkanlah wakil-wakil rakyat PN dari Umno dan PAS dalam pembangunan negeri Selangor. Tentunya Muafakat Nasional boleh menyumbang untuk mengukuhkan Perikatan Nasional di Selangor,” tambah Adun Tanjung Karang itu lagi.

Amirudin mengetuai PK di Selangor selaku parti yang masih kekal menjadi pemegang kerusi terbanyak di DUN negeri itu – 17 kerusi- walaupun selepas pemecatan Adun Lembah Jaya Haniza Talha daripada parti.

Selangor mempunyai 56 kerusi dengan DAP memegang 16 kerusi, Amanah (8), Barisan Nasional (5), Bersatu (5), PAS (1) dan wakil Bebas (1). – 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen