EKSPORT sarang burung Malaysia ke China berkemungkinan besar berkurangan sebanyak 40% atau 2,300 tan metrik (MT) berbanding 2019 kerana permintaan lemah disebabkan wabak Covid-19, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Antara Januari hingga April tahun ini, Malaysia hanya mengeksport 16.34 MT sarang burung ke China, berbanding 5,654.7 MT pada keseluruhan tahun lepas.
“Syarikat eksport berdepan masalah logistik disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi syarikat sarang burung masih boleh meneruskan pengeluaran dan eksport ke China.
“Kami menggesa mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan Covid-19,” kata DVS dalam jawapan bertulis kepada The Malaysian Insight.
Setiap tahun, kebiasaannya terdapat permintaan sebanyak 70 MT sarang burung mentah dari China dan 2,500 sarang burung mentah dihasilkan burung walit.
Dalam persekitaran semulajadi, sarang itu boleh didapati di dalam gua dan dituai di sana, dan dalam persekitaran ladang, burung walit membuat sarangnya dalam bangunan tanpa tingkap.
Tetapi disebabkan wabak Covid-19, permintaan jatuh mendadak daripada pasaran China, kata Pengerusi Persatuan Pengimport dan Pengeksport Sarang Burung Malaysia Chua Huai Gen.
“Permintaan mula lemah sejak Disember, dan situasi bertambah buruk selepas Tahun Baharu China disebabkan wabak.
“Kebiasaannya, berdasarkan trend terdahulu, permintaan pasaran akan meningkat menjelang May Day (perayaan utama di China), tetapi ia tidak berlaku tahun ini,” katanya.
Chua berkata DVS sudah membantu menyediakan kaunter khas untuk mempercepatkan eksport sarang burung bagi membantu industri, tetapi permintaan dari China tidak menggalakkan seperti mana sebelum ini.
Industri itu di Malaysia bernilai RM1.1 bilion pada 2019.
DVS memberitahu The Malaysian Insight yang industri itu dianggap penyumbang penting kepada ekonomi negara dan kerana itu jabatan menyediakan perkhidmatan rundingan dan garis panduan kepada pengeluar dan perniagaan sarang burung untuk terus dapat bersaing ketika musim wabak.
Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sarang Burung Malaysia Allen Tan pula berkata permintaan dari China kini lembap.
“Dalam persekitaran sekarang, penjual gembira dapat mengekalkan pesanan sedia ada dan kadar eksport. Mereka berpuas hati, memandangkan banyak industri lain terjejas kerana Covid-19 dan perniagaan berdepan kesukaran.”
Eksport digantung selama lima minggu apabila China mengenakan perintah berkurung dan Malaysia juga menguatkuasakan PKP.
Tan berharap pesanan akan kembali naik dan beliau menjangkakan permintaan sarang burung akan terus berkekalan kerana ia dianggap produk kesihatan.
“Industri juga bersiap sedia untuk memenuhi pesanan bagi Festival Pertengahan Musim Luruh China yang berlaku pada hujung September atau awal Oktober.”
Dianggap sebagai makanan mewah dan digemari orang Cina untuk membantu pertumbuhan dan sistem imuniti badan, harga sarang burung ditentukan pasaran.
Sarang burung mentah dijual dengan harga antara RM3,000 dan RM4,000 sekilo dan mempunyai permintaan lebih tinggi berbanding sarang tidak dibersihkan. – 3 Julai, 2020.
Komen