Mahkamah tolak permohonan Malaysiakini ketepi dakwaan hina mahkamah


Bede Hong

MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan Malaysiakini dan ketua editornya Steven Gan untuk mengetepikan dan membatalkan tuduhan menghina mahkamah yang dimulakan oleh peguam negara berhubung komen pembacanya mengeai kehakiman.

Tujuh panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf menetapkan 13 Julai untuk pendengaran kes berhubung penyiaran komen pembaca.

Komen yang disiarkan portal berita sebagai maklum balas untuk artikel bertarikh 9 Jun, dianggap oleh pendakwa sebagai memperkecilkan kehakiman.

Sekiranya didapati bersalah portal berita berkenaan dan Gan boleh didenda. Editor berusia 58 tahun itu juga berkemungkinan berdepan hukuman penjara.

Gan yang memakai sut kelabu, duduk di galeri awam mahkamah dengan pengasas bersama dan CEO Malaysiakini Premesh Chandran.

Beberapa kakitangan portal berkenaan turut berada di luar mahkamah bagi menyokong Gan.

“Mahkamah mengarahkan agar kami tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu dan saya tiada kuasa untuk mengulas berhubung isu ini,” kata Gan ketika ditemui di luar mahkamah.

“Kami sudah pasti akan mempertahankan sedaya mungkin apabila kembali pada 13 Julai.”

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada 15 Jun, Peguam Negara Idrus Harun berkata bahawa komen lima pembaca dalam artikel yang mengkritik arahan Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat ke mahkamah untuk dibuka semula pada 1 Julai, berikutan pelonggaran sekatan pergerakan. 

Komen berkenaan mengaitkan Badan Kehakiman secara keseluruhan, dan ia turut termasuk Ketua Hakim Negara.

“Melihat sifat komen yang melibatkan badan kehakiman secara keseluruhan, kami berpendapat ini adalah mahkamah yang tepat untuk memulakan prosiding.

“Permohonan ditolak sebulat suara dan kami akan mendengar merit permohonan Peguam Negara ini pada tarikh yang lain.

“Sementara kes ini didengar dan diputuskan mahkamah, kami dengan ini mengarahkan semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung kes bagi mengelakkan subjudis,” katanya.

Turut bersidang Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli, Vernon Ong Lam Kiat, Nallini Pathmanathan and Mohd Zawawi Salleh. – 2 Julai, 2020.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen