Anwar tuntut penjelasan berhubung peletakan jawatan bekas CEO Petronas 


Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan sama ada wujud campur tangan kerajaan dalam Petronas yang menyebabkan peletakan jawatan CEOnya, Wan Zulkiflee Wan Ariffin bulan lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2020.

PUTRAJAYA perlu menjelaskan campur tangannya dalam Petronas yang menyebabkan peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif syarikat minyak negara itu Wan Zulkiflee Wan Ariffin bulan lalu, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR dalam satu kenyataan hari ini turut mempersoalkan sama ada peletakan jawatan itu berikutan gesaan kerajaan Perikatan Nasional untuk memberikan konsesi kepada Sraawak kerana pertimbangan politik.

“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab menyelia khazanah dan hasil negara, rakyat jelas tertanya-tanya apakah rencana sebenar di sebalik perletakan jawatan tersebut dan ini mesti dijelas dan diperincikan tanpa lengah oleh pihak Petronas.

“Apakah ada campur tangan kerajaan (dalam peletakan jawatan Wan Zulkiflee)?” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan Wan Zulkiflee meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan rancangan Putrajaya untuk membayar cukai jualan minyak dan gas sebanyak RM2 bilion kepada kerajaan Sarawak.

Sumber yang dekat dengan Wan Zulkiflee memberitahu Reuters, beliau tidak bersetuju dengan perjanjian itu dan meletak jawatan sebagai tanda protes.

“Wan Zulkiflee meletakkan kerana prinsip, bahawa beliau tidak bersetuju dengan perjanjian Sarawak.

“Kerajaan baharu terbuka untuk memberi lebih banyak kepada negeri pengeluar minyak,” kata sumber yang dekat dengan kerajaan.

Anwar berkata, selepas berkhidmat selama hampir empat dekad dalam Petronas, peletakan jawatannya itu menimbulkan banyak persoalan.

“Badan penarafan dunia S&P Global Ratings baru-baru ini juga telah membuat penilaian semula unjuran Malaysia dan Petronas dari stabil ke negatif.

“Apa yang dibimbangi badan tersebut adalah mengenai campur tangan kerajaan dalam Petronas. Ia juga menggesa agar dijelaskan berkaitan bayaran yang dibuat kepada Sarawak.”

Katanya ketidakstabilan dalam Petronas memberi impak negatif kepada ekonomi negara dan pelabur antarabangsa.

“Gabungan pembangkang menuntut penjelasan menyeluruh dan tuntas terkait isu ini.

“Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa.”

Sarawak menuntut agar kerajaan persekutuan membayar duti atas sumber minyak dan gas negeri, dengan menjadikan cukai jualan sebagai salah satu cara negeri itu memaksa Putrajaya berbuat demikian.

Bagaimanapun, Petronas tetap dengan pendirian bahawa pihaknya berhak ke atas semua sumber minyak dan gas di seluruh negara, termasuk di Sarawak dan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga dilaporkan terbuka untuk memberi Sabah dan Sarawak bayaran royalti yang lebih banyak untuk sumber minyak dan gas mereka, yang merupakan tunututan utama negeri kepulauan Borneo itu.

Wan Zulkiflee sebelum ini mengatakan bahawa kenaikan bayaran royalti tidak dapat dilaksanakan dan dianggarkan ini boleh menelan belanja syarikat sehingga RM7 bilion setahun. – 2 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen