Bersatu, PAS tidak bertanding PRN Sarawak


Desmond Davidson

Bersatu dan PAS tidak akan bertanding pada PRN Sarawak akan datang, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2020.

BERSATU dan PAS tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi jaminan demikian pada mesyuarat dihadiri ketua 12 parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya semalam.

Bersatu dan PAS satu-satunya parti bukan diasaskan di Sarawak yang ada cawangan di negeri itu.

Dengan potensi halangan tiada lagi, laluan lebih lapang untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) melawan pembangkang, katanya.

Masing yang menghadiri mesyuarat dua jam semalam, berkata jaminan diberikan oleh Bersatu dan PAS itu “isyarat baik menunjukkan parti komponen dalam PN menghormati komitmen untuk membantu GPS apabila PRN diadakan”.

GPS terdiri daripada empat parti Sarawak – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) dan PRS.

Masing berkata Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Abang Johari Openg memberitahu mesyuarat itu bahawa PRN “tidak lama lagi” dan GPS sudah siap sedia.

“GPS sudah bersedia. Empat parti komponen lagi turut mempersiapkan diri untuk melawan pembangkang DAP, PKR, PSB dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan. – 2 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen