Ibu bapa bimbang guru, kelas terhad bila sekolah dibuka semula


Sheridan Mahavera

Di sekolah, SOP diulang-ulang kepada murid setiap jam menerusi sistem pembesar suara, suhu badan diperiksa dan diingatkan untuk guna cecair pembasmi kuman dan topeng muka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2020.

RUANG bilik darjah yang terhad dan kekurangan guru antara kebimbangan utama dalam kalangan ibu bapa apabila sekolah mula dibuka semula pada 15 Julai selepas pelajar tingkatan lima dan enam atas sudah pun memulakan pembelajaran seminggu lebih awal.

Pembukaan semula sekolah pada minggu lalu membabitkan lebih setengah juta pelajar tingkatan lima dan enam, dan masalah timbul di sekolah yang mempunyai ramai pelajar, terutama di kawasan bandar.

Sekolah yang mempunyai populasi lebih 1,500 murid sukar untuk menempatkan semua pelajar mereka dengan masih mengekalkan peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan Kementerian Pendidikan, kata persatuan ibu bapa dan guru.

Mereka juga bimbang tenaga pengajar terpaksa mengadakan kelas tambahan kerana kelas perlu dipisahkan kerana saiz terlalu besar, kata Ketua Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan (KPIBKK) cabang Negeri Sembilan Mohd Kameel Abdul Karim.

Kameel memberitahu The Malaysian Insight mereka akan perlu membantu sekolah mencari dana tambahan untuk cecair pembasmi kuman, peralatan mengukur suhu badan dan topeng pelitup muka.

Bagaimanapun, kesatuan guru kebangsaan yakin pentadbir sekolah akan mempunyai kelonggaran mencukupi untuk menyusun kelas dan guru bersesuaian dengan had fizikal sekolah masing-masing

“Apa yang ditetapkan kementerian sesuatu yang dirangka oleh NUTP sebagai sebahagian operasi prosedur standard (SOP baharu untuk sekolah bagi meminimumkan kontak fizikal,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Amiruddin Awang.

Guru besar akan dapat memilih bagaimana hendak memisahkan kelas mengikut tiga model berbeza berdasarkan kepada populasi pelajar.

“Kami percaya pentadbir dan guru cukup bijak untuk menyediakan sistem penggiliran dan jadual yang akan memastikan mereka ada guru dan kelas mencukupi,” kata Amiruddin.

Satu lagi kebimbangan ialah bagaimana hendak mendisiplinkan murid di luar sekolah ketika mereka pulang berjalan kaki ke rumah atau menunggu bas sekolah, kata bekas pengetua sekolah menengah, Romeli Ismail.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang untuk anak lebih besar kerana mereka lebih matang tetapi yang masih kecil, seperti sekolah rendah dan tingkatan satu hingga tiga, mereka mungkin tidak ikut SOP,” kata Romeli, yang juga ketua KPIBKK Terengganu.

“Di sekolah, SOP diulang-ulang kepada murid setiap jam menerusi sistem pembesar suara. Bila mereka di luar sekolah, mereka akan mula berpeluk dan bermain dengan kawan.

“SOP juga tidak ada di dalam bas sekolah dan semua bersesak bersama. Kemudian ada pula gerai-gerai di luar sekolah dan biasanya murid akan mengerumun penjual ini. – 2 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen