Singapura wajar longgar kawalan sempadan bagi rakyat Malaysia, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Polisi Malaysia membenarkan kemasukan rakyat Singapura mungkin dikaji semula bergantung kepada perbincangan antara kementerian hal ehwal luar negeri kedua-dua negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

MALAYSIA sedang menunggu Singapura melonggarkan kawalan sempadan bagi rakyat Malaysia sebagai balasan kepada Putrajaya kerana membenarkan warga republik itu masuk ke Johor, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ia masih belum melonggarkan sekatan masuknya untuk rakyat Malaysia, termasuk 250,000 yang bekerja di sana dan berulang-alik antara kedua-dua negara.

“Kami masih menunggu mereka melonggarkan sekatan untuk membenarkan rakyat kita memasuki Singapura,” kata menteri pertahanan itu pada taklimat harian mengenai perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di Putrajaya hari ini.

Sebaliknya, Malaysia sudah membenarkan rakyat Singapura memasuki negara ini, dengan syarat mereka bebas daripada Covid-19 dan mempunyai sijil “Fit To Travel” yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara itu.

Warga Singapura yang masuk ke Malaysia tidak perlu menjalani kuarantin koronavirus jika ujian menunjukkan negatif sebelum masuk.

Ismail Sabri menjawab soalan mengenai laporan mengenai seorang remaja lelaki yang keluarganya pemegang visa Malaysia My Second Home (MM2H) yang dinafikan masuk di Tambak Johor dan terpaksa berjalan kaki pulang ke Singapura.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara berkata Malaysia berharap Singapura akan membalas keputusan Putrajaya untuk mengizinkan warga Singapura dengan syarat di atas, kerana kedua-dua negara akan mendapat keuntungan.

“Kami melonggarkan sekatan untuk membenarkan warganegara mereka masuk dan mereka juga sepatutnya melonggarkan syarat serta membenarkan rakyat kita masuk ke negara mereka.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat supaya kita dapat membuka sempadan ke Singapura, agar rakyat dari kedua negara dapat melintas tanpa sekatan.”

Ismail Sabri juga berkata polisi Malaysia membenarkan kemasukan rakyat Singapura mungkin dikaji semula bergantung kepada perbincangan antara kementerian hal ehwal luar negeri kedua-dua negara. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen