Tak perlu kejar jawatan perdana menteri, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan jalan raya di Kpg Segedup hari ini.– 30 Jun, 2020.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg memberitahu ahli politik di semenanjung bahawa negara memerlukan kerajaan yang stabil untuk menangani kesan daripada pandemik Covid-19.

“Untuk jadi perdana menteri itu perkara kedua.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah kerajaan yang stabil di peringkat persekutuan. Masih banyak cabaran yang perku kita hadapi,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah pembinaan jalan raya di Kpg Segedup hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana ahli politik.

Abang Johari Openg berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau didekati mana-mana parti dari semenanjung untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mencapai impian mereka menjadi perdana menteri.

Pada 20 Jun, Abang Johari enggan bertemu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Anwar secara diam-diam menaiki jet peribadi ke Kuching.

Menurut sumber, Anwar berharap untuk berjumpa dengan Abang Johari untuk memujuknya mendapat sokongan parti menerajui kerajaan negeri yang diketuai ketua menteri Sarawak itu, sebagai calon perdana menteri ke sembilan.

Tiga hari kemudian, ketua menteri itu berkata rakyat lebih penting daripada berebut untuk menjadi perdana menteri.

Abang Johari hari ini berkata, pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan masalah ekonomi juga perlu ditangani.

“Kita perlukan kepimpinan yang fokus untuk menguruskan semua masalah ini. Mengapa mereka perlu sibuk untuk jadi perdana menteri?

“Biar (perdana menteri) Muhyiddin (Yassin) buat kerja memandangkan beliau dah pegang jawatan itu.

“Mengapa mereka perlu sibuk untuk jadi perdana menteri?” soalnya. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen