Polis tumpas sindiket seludup migran


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata tiga operasi khas dijalankan di Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam serbuan sejak 4 Jun hingga 20 Jun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Jun, 2020.

POLIS tumpaskan tiga sindiket penyeludupan migran dengan penahanan 111 ahli kumpulan sindiket di Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam serbuan sejak 4 Jun hingga 20 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, tiga operasi khas dijalankan di tiga negeri itu dengan bantuan polis Bukit Aman bagi mengesan aktiviti haram penyeludupan migran melalui jalan tidak sah membabitkan kumpulan jenayah terancang.

“Di Johor, sindiket itu dinamakan Geng Otong, di Perak dikenali sebagai Geng Halim dan di Pulau Pinang, geng Husen MaungDaw. Semua 111 yang ditahan berusia 28 hingga 68 tahun,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Huzir, objektif pelaksanaan operasi ini juga selaras dengan dasar kerajaan untuk mengawal sempadan dari dibolosi oleh warga asing bagi menghalang sepenuhnya penularan wabak Covid-19 yang berpunca dari kes import.

“Ketua dan ahli tiga kumpulan ini pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan yang sama malah pernah dituduh di mahkamah. 

“Namun kali ini kami percaya ketiga-tiga kumpulan ini sudah ditumpaskan dengan penahanan semua ahli geng kecuali ketua tiga kumpulan itu,” katanya.

Huzir berkata 81 daripada keseluruhan yang ditahan akan didakwa di mahkamah masing-masing 50 di Johor, 13 di Perak dan 18 di Pulau Pinang, pada 2 Julai.

Mengulas lanjut, Huzir berkata geng Otong yang mempunyai lebih 51 ahli kumpulan aktif sejak 2014 dan diketuai seorang lelaki warga Indonesia dipanggil Otong.

“Mereka berkeupayaan untuk menyeludup 500 - 600 warga asing sebulan,” katanya.

Geng Halim yang diketuai lelaki tempatan bernama Halim pula aktif sejak  2017 di perairan Hutan Melintang di Perak, kata Huzir.

“Di Pulau Pinang, Geng Husen Maungdaw aktif sejak 2014 diketuai lelaki etnik Rohingya dan ahli kumpulan serta mangsa seludup juga terdiri daripada etnik yang sama.

“Kumpulan ini aktif di perairan utara Semenanjung dan mendalangi pendaratan dan pencerobohan perairan di Langkawi termasuk yang mendarat baru-baru ini,” katanya.

Huzir berkata pecahan tangkapan bagi ketiga-tiga kumpulan adalah 57 orang di Johor, 35 di Perak dan 19 di Pulau Pinang.

“Semua yang ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Kami juga sedang memburu dua ahli Geng Otong, empat ahli Geng Halim dan dua geng Husen Maungdaw.

“Seramai 24 pegawai penguatkuasa termasuk 17 pegawai polis, lima tentera dan dua imigresen yang terbabit dalam aktiviti sindiket,” katanya. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen