Monorel Melaka beroperasi semula esok


PERKHIDMATAN Monorel Melaka akan mula beroperasi semula esok setelah digantung perkhidmatan sejak 2013.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Zainal Hussin berkata perkhidmatan monorel itu akan beroperasi mulai 10.00 pagi hingga 10.00 malam pada hari biasa dan akan dilanjutkan hingga ke 12.00 tengah malam pada Sabtu dan Ahad.

“Buat masa ini, perkhidmatan monorel ini hanya mempunyai satu gerabak yang boleh menampung seramai 15 penumpang dan akan bergerak selama 30 minit bagi setiap pusingan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata tiket boleh didapati dengan harga RM10.00 seorang.

Monorel Melaka yang mula beroperasi pada 2010 terpaksa digantung operasi perkhidmatannya susulan insiden dua penumpang yang juga pelancong dari Britain terkandas pada 1 November 2011.

Monorel sepanjang 1.6 kilometer itu dibina dengan kos RM16.5 juta, menghubungkan Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya. – Bernama, 3 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen