Urus niaga PetroSaudi, peguam 1MDB sengaja kelirukan lembaga pengarah


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak kelihatan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menghadiri perbicaraan kes skandal 1MDB membabitkan dirinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Jun, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo sengaja mengelirukan lembaga pengarah 1MDB berhubung pembelian 49% pegangan dalam PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOL) pada 2012.

Beliau berbuat demikian dengan sengaja memperincikan pembelian ekuiti itu dengan cara berbelit-belit untuk mengelirukan lembaga pengarah, kata bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini.

Shahrol memberi keterangan sebagai saksi dalam kes perbicaraan Najib Razak yang didakwa atas pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa membabitkan RM2.3 bilion wang 1MDB.

Shahrol berkata Loo, yang kini dalam pelarian, mengeluarkan resolusi pekeliling pengarah dalam cara yang menyukarkan ahli lembaga pengarah untuk faham bahawa pelaburan AS$2.2 bilion (RM6.7 bilion) dibuat kepada anak syarikat PetroSaudi International.

Ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol bersetuju dengan cadangan bahawa resolusi pekeliling itu adalah mekanisme untuk “memperdayakan” ahli lembaga pengarah.

Shahrol turut bersetuju apabila dicadangkan bahawa pelaburan itu tidak bernilai langsung.

Urus niaga 1MDB pada 2012 yang mengikut tukaran mata wang pada masa itu, AS$2.23 bilion (RM6.7 bilion) dalam nota Murabahah menerusi pembelian ekuiti 49% dalam PSOSL.

Urus niaga itu sepatutnya bagi membantu menghantar balik wang daripada urus niaga usahasama terdahulu bersama PetroSaudi International.

Dalam urus niaga usahasama itu, 1MDB memindahkan sejumlah AS$1.83 bilion ke sebuah entiti yang kemudiannya didedahkan sebagai syarikat palsu.

Jumlah yang dimasukkan antara September 2009 dan Oktober 2011 itu dibuat ke syarikat yang dikawal oleh Low Taek Jho atau sekutunya, CEO PSI Tarek Obaid.

Shahrol menafikan beliau bersubahat dengan Loo untuk menipu 1MDB.

Najib dibicarakan atas empat tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan penggubahan wang haram. Ahli Parlimen Pekan itu berdepan hukuman penjara 20 tahun maksimum jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen