Bersih lancar petisyen gesa kekal speaker Dewan Rakyat


Bersih 2.0 menggesa semua ahli Parlimen menolak usul menamatkan khidmat Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa semua ahli Parlimen menolak usul menamatkan khidmat Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Bersih juga menyeru rakyat Malaysia menandatangani petisyen dalam talian bagi menyokong Ariff kekal sebagai speaker.

“Bersih 2.0 menolak usul oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan Ariff dan timbalannya pada hari pertama sidang Parlimen seterusnya pada 13 Julai.

“Seorang lagi Timbalan Speaker, Rashid Hasnon, yang menyokong Muhyiddin akan dikekalkan. 

“Usul untuk menggantikan speaker Dewan Rakyat tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia kerana kebiasaannya dibuat apabila Parlimen dibubarkan, kerana kematian atau peletakan jawatan,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga menyebut Ariff yang bersara dari politik sejak dilantik sebagai speaker pada 2018 perlu diberi penghargaan kerana menjalankan tugas tanpa memihak kepada mana-mana parti.

“Dengan ini kami menggesa semua ahli Parlimen menolak usul menggantikan Speaker Ariff supaya pembaharuan yang beliau mulakan dapat diteruskan.”

Muhyiddin kemuka usul singkir Ariff dan Nga pada 26 Jun.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan kerajaan Perikatan Nasional bercadang untuk melantik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai pengganti Ariff. 

Ariff dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Azhar juga dilantik sebagai pengerusi SPR oleh PH.

Azhar difahamkan sudah menghantar surat peletakan jawatan semalam, dan pencalonannya dihantar pada hari sama. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen