Pencalonan Art Harun tiada kaitan dengan abangnya, kata Annuar


Ravin Palanisamy

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa (kanan) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan melawat pasar borong Kuala Lumpur di Selayang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Jun, 2020.

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dicalonkan sebagai bakal speaker Dewan Rakyat kerana beliau mempunyai latar belakang undang-undang, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa.

Pencalonan Azhar oleh kerajaan Perikatan Nasional itu juga tidak ada kaitan dengan jawatan abangnya, Idrus Harun sebagai peguam negara, kata Annuar.

“Saya tidak fikir adil untuk kaitkan pencalonan beliau dengan abangnya sebagai peguam negara.

“Apa yang penting ialah speaker itu seorang individu yang ada latar belakang undang-undang dan menepati kriteria tertentu. Saya fikir beliau menepati kriteria itu. Jadi, tidak ada yang luar biasa,” kata Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan, hari ini ketika ditemui dalam lawatan kerja di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membawa usul untuk Azhar menggantikan Mohamad Ariff Mohd Yusof sebagai speaker.

Ariff dilantik oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Azhar juga dilantik sebagai pengerusi SPR oleh kerajaan PH.

Azhar, lebih dikenali dengan nama Art Harun, difahamkan sudah menghantar surat peletakan jawatan semalam, dan pencalonannya dihantar pada hari sama.

Muhyiddin menghantar usul bagi menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming, pada 26 Jun.

Annuar berkata Azhar menunjukkan perkhidmatan yang baik ketika mengetuai SPR.

“Proses pelantikan akan dilakukan di dewan. Beliau perlu mendapat sokongan mencukupi daripada ahli dewan, sekurang-kurangnya majoriti mudah,” katanya. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen