Peniaga Georgetown ceria, pelancong kian ramai


Zaim Ibrahim

Pengunjung mula membanjiri kawasan Lebuh Pantai, Georgetown yang terkenal dengan pelbagai lukisan, kraftangan dan makanan tradisional. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

KAWASAN tarikan pelancongan di Georgetown kini meriah semula dengan pengunjung yang kembali melawat kawasan itu yang sudah tiga bulan sepi.

Beberapa peniaga yang ditemui The Malaysian Insight memberitahu, mereka kini dapat menjana pendapatan semula walaupun tidak capai tahap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut mereka, kebanyakan pelancong daripada kalangan warga tempatan banyak membantu ekonomi di kawasan itu.

Seorang pengusaha restoran cendol, Malik Ben berkata beliau kini mampu menjana RM1,000 sehari sejak aktiviti merentas negeri dan pelancongan mula dibenarkan dua minggu lepas.

“Waktu awal-awal buka, memang tidak ramai yang datang. Orang belum ramai rentas negeri dan kita harapkan orang Pulau Pinang saja datang ke kedai.

“Tetapi selepas dua tiga hari keadaan seperti musim cuti sekolah, orang pun penuh di luar dan dalam kedai.

“Alhamdulillah, kita boleh capai hingga RM1,000 sehari lebih-lebih lagi hari minggu,” kata beliau yang merupakan pewaris generasi ketiga kedai cendol itu yang beroperasi sejak 1925.

Jika keadaan itu berterusan, mereka akan dapat mengatasi kerugian yang dialami apabila kedai ditutup sewaktu PKP, katanya ketika ditemui di kedai di depan Masjid Melayu Lebuh Acheh itu.

“Sekarang pun orang dah mula ramai sampai tidak cukup kerusi,” jelas pemuda berusia 28 tahun itu.

Pengusaha basikal sewa, Tan Teik Leong berkata sejak rentas negeri dibenarkan pendapatannya kembali pulih. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

Pengusaha basikal sewa, Tan Teik Leong juga berkata, beliau berasa lega kerana walaupun wabak Covid 19 belum ditangai 100%, pelancong semakin bertambah setiap hari.

“Nak tunggu bisnes normal seperti dahulu akan ambil masa, mungkin hingga akhir tahun atau tahun depan.

“Tahun-tahun lepas sehari hampir 100 basikal disewa tetapi waktu sekarang hanya 50 atau 60 buah basikal.

“Saya tetap puas hati, daripada tiga bulan kita tiada pendapatan lansung sekarang sudah ada,” jelas beliau.

Tambahnya, beliau mengalami kerugian kerana persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020 tidak sempat membuahkan hasil sebelum Covid-19 melanda.

“Saya baiki basikal lama, tambah basikal baru dan perkhidmatan lain sebab kita ingat tahun ini perniagaan kita banyak untung.

“Tapi sebab Covid 19, satu dunia terkesan jadi kita perlu sabar tunggu keadaan pulih sepenuhnya,” kata Tan.

Perniagaan itu kembali rancak selepas aktiviti pelancongan domestik dan pergerakan rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun lalu melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Peniaga air kelapa dan cendol, Tan Teik Chuan menyambut baik langkah itu yang menurutnya memberi keuntungan kepada peniaga kecil sepertinya.

Walaupun hasil jualan tidak serancak dahulu tetapi ia tetap berjalan dan beliau akan mendapat pelanggan dengan kelonggaran itu, kata Tan, 33.

“Sebelum Covid-19, sehari hampir 200 biji buah kelapa dapat dijual. Sekarang paling banyak 40 biji sahaja.

“Saya pun tak berani ambil kelapa banyak-banyak, setakat kita buka kedai dua minggu lepas memang pelancong bertambah tapi sedikit sahaja yang datang ke kedai,” tambahnya.

Beliau juga menjangkakan, aktiviti pelancongan di kawasan itu akan pulih semula akhir tahun ini.

“Setakat ini kita berniaga seperti biasa, perlahan-lahan akan jadi normal,” katanya.

Penarik beca di sekitar Georgetown kini mampu menjana pendapatan sehingga RM40 sehari berbanding tiada langsung pendapatan ketika PKP. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

Seorang peniaga cenderamata, Jane pula melihat peniagaannya masih lembab selepas mula beroperasi 10 hari lalu.

“Pelanggan memang ada tetapi tak bawa balik modal. Masih banyak belum terjual.

“Pelancong ramai tapi mereka lebih suka membeli makanan, sewa basikal. Mungkin orang masih berjimat cermat sebab terkesan Covid 19,” katanya.

Walau pergerakan rentas negeri dibenarkan, sempadan negara masih ditutup kepada pengunjung luar kecuali kepada petugas dengan kebenaran khas.

Kerajaan juga mempertimbangkan untuk membuka sempadan kepada pengunjung dari enam negara yang dikenapasti sebagai zon hijau – Singapura, Brunei, New Zealand, Australia dan Korea Selatan.

Klasifikasi negara zon hijau itu berpandukan petunjuk trend jangkitan dalam tempoh tertentu dan dasar diamalkan negara tersebut dalam mengawal penularan Covid-19.

Malaysia dijangka akan diisytiharkan bebas Covid-19 apabila tiada sebarang kes aktif dalam tempoh 28  hari berturut-turut. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen