Pengerusi SPR dicalonkan sebagai speaker Dewan Rakyat 


The Malaysian Insight

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dikatakan meletakkan jawatan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

KERAJAAN Muhyiddin Yassin mencalonkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Mohamad Ariff Mohd Yusof, menurut sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Azhar – yang juga dikenali sebagai Art Harun – meletak jawatan sebagai pengerusi SPR semalam.

Difahamkan pencalonan juga dihantar semalam.

“Beliau menghantar peletakan jawatan. Tetapi terpulang kepada Parlimen untuk bahaskan pencalonannya pada persidangan 13 Julai,” kata sumber.

“Ia juga boleh berlaku sebaliknya tetapi Perikatan Nasional mempunyai majoriti untuk meneruskan pencalonan,” kata seorang lagi sumber kepada The Malaysian Insight.

Mengikut konvensyen, ahli Parlimen diberi masa sehingga 14 hari untuk mencalonkan speaker baharu apabila jawatan itu dikosongkan. Sekiranya lebih seorang calon dicadangkan, ia akan ditentukan melalui undian.

Azhar dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini untuk menerajui SPR selepas pilihan raya umum pada 2018 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sejak 1974.

Anak jati Kedah yang berusia 58 tahun itu, sebelum ini dikenali sebagai peguam hak asasi manusia dan juga penulis.

Muhyiddin menghantar usul bagi menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming, pada 26 Jun.

Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon yang merupakan seorang lagi timbalan speaker bagaimanapun tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu.

Perdana menteri dijangka akan membentangkan usul bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat pada hari pertama sidang Parlimen 13 Julai ini.

Nga merupakan ahli Parlimen DAP manakala Ariff merupakan hakim bersara dan dipuji oleh kedua-dua pihak kerana membuat pembaharuan Parlimen sejak memegang jawatan itu pada 2018.

Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin cuba melengahkan masa dengan mencalonkan speaker baharu ketika pemimpin parti PN menggesa pilihan raya baharu diadakan dengan menggantikan speaker dan timbalannya.

Muhyiddin turut berdepan undi tidak percaya yang diusul oleh Dr Mahathir Mohamad apabila Dewan Rakyat kembali bersidang. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen