Lelaki dikehendaki berhubung kes bunuh Datuk Seri ditahan


POLIS menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh pemaju hartanah di Rawang.

Suspek ditahan di Bukit Sentosa, Kuala Kubu Baru malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata, lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama samaran “El”, direman seminggu sehingga 7 Julai.

Semalam, beliau berkata polis sedang mengesan El, atau nama sebenarnya Sheikh Ismail Sheikh Hassan yang beralamat terakhir J-2-01 dan J-3-29, Apartmen Teratai di Bukit Beruntung MK Land, Rawang.

Menurutnya, seorang lagi lelaki yang juga berasal dari Rawang turut diburu untuk membantu siasat.

“Vikneswarar Nagentiran, juga dikenali sebagai Thamby @ Vinod turut dikehendaki. Alamat terakhirnya adala  587-144 New Green Park, 48000 Rawang Selangor.

“Kepada orang ramai yang mempunyai maklumat sila hubungi balai polis terdekat.”

Mayat pemaju hartanah terbabit ditemukan di Batu 27 Jalan Rawang pada Sabtu.

Mangsa berusia 55 tahun dan berpangkat Datuk Seri itu, diculik ketika berjoging di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya 10 Jun lalu. 

Tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh turut ditahan pada Ahad dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.

“Suspek dipercayai menuntut wang tebusan S$50 juta (RM154 juta) daripada keluarga mangsa selepas penculikan,” kata Fadzil.

“Namun wang tebusan itu tidak dibayar.” – 29 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen