Rakyat Israel tunjuk perasaan bantah kerajaan korup Netanyahu


Penunjuk perasaan pada Sabtu berkumpul di dataran besar di kawasan kejiranan elit di bandar Israel, lapor wartawan AFP, melaungkan “memalukan” dan “Bibi balik rumah”, merujuk kepada gelaran dipakai Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. – Gambar AFP, 3 Disember, 2017.

PULUHAN ribu orang berarak di Tel Aviv membantah apa yang didakwa mereka korupsi dalam kerajaan dan kelembapan proses siasatan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Netanyahu disyaki menerima hadiah mewah daripada penyokongnya yang kaya. Dia juga sedang disiasat polis berkaitan perjanjian rahsia yang mendakwa dia cuba mendapatkan liputan istimewa dengan penerbit terkenal Israel, Yediot Aharonot.

Penunjuk perasaan pada Sabtu berkumpul di dataran besar di kawasan kejiranan elit di bandar Israel, lapor wartawan AFP, melaungkan “memalukan” dan “Bibi balik rumah”, merujuk kepada gelaran dipakai perdana menteri itu.

Perhimpunan itu- dianggap “perhimpunan memalukan”- dianjurkan oleh pemimpin bantahan mingguan yang sudah mula melakukan bantahan di depan rumah Peguam Negara Avishai Mandelbit sejak beberapa bulan lalu.

“Bibi dan kerajaannya sedang memusnahkan negara ini. Cukup-cukuplah korupsi yang berlaku,” kata seorang pembantah, Michal, penduduk Tel Aviv menyertai bantahan itu.

Pemimpin pembangkang, Isaac Herzog menyuarakan sokongan kepada pembantah, menulis catatan di Facebooknya yang “kekecewaan…berpunca daripada rasa ketidakadilan, menyampah terhadap korupsi dan bantahan moral kepada undang-undang yang digubal untuk kepentingan seorang individu”.

Parlimen Israel pada Isnin akan melakukan pembacaan kedua dan ketiga rang undang-undang yang disifatkan pembangkang membolehkan Netanyahu terlepas daripada disiasat polis.

Penaja rang undang-undang itu, David Amsalem dari parti Likud, diterajui Netanyahu berkata dia hanya mahu melindungi hak dan reputasi suspek.

Netanyahu dituduh menerima hadiah mewah daripada individu berpengaruh termasuk ahli perniagaan Israel dan penerbit Holloywood, Arnon Milchan yang juga sedang disiasat.

Milchan, kawan lama Netanyahu, dilaporkan menghantar berkotak-kotak cigar mahal dan hadiah lain bernilai ratusan dolar.

Selain tuduhan hadiah itu yang dianggap rasuah, polis juga mengesyaki Netanyahu sedang melakukan pakatan rahsia- dipercayai tidak sempat dimeterai- yang akan menyaksikan dia menerima liputan memihak kepadanya sebagai balasan menghalang pesaing Yediot yang memiliki media pro- Netanyahu Israel Hayom.

Netanyahu berterusan menafikan salah laku dan mendakwa dia menjadi mangsa serangan musuh politiknya. – AFP, 3 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen