PERDANA Menteri Najib Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil berat kebajikan masyarakat India terutama dalam usaha mengubah kaum tersebut yang dahulunya dikenali sebagai komuniti estet kepada masyarakat yang lebih moden dan progresif.
Atas dasar itu, Najib berkata BN membentang Pelan Induk Perkasa Masyarakat India semasa Bajet 2018 di Parlimen yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara.
“Saya ambil berat masyarakat kaum India kerana masyarakat kaum India ada beberapa cabaran unik, terutama sekali struktur masyarakatnya daripada ladang estet yang kini semakin hari tidak boleh digunakan.
“Dan generasi baru memerlukan bantuan tertentu supaya transisi secara dasarnya daripada komuniti estet kepada masyarakat yang lebih moden dan progresif dapat menjadi kejayaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakhti di Brickfield, Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Najib mengumumkan peruntukan lebih RM1 bilion untuk masyarakat India dalam Pelan Induk Perkasa Masyarakat India di Malaysia.
Selain itu, Najib juga mengakui beliau merupakan perdana menteri yang memberikan peruntukan paling tinggi untuk sekolah Tamil iaitu hampir RM1 bilion.
“Sejak saya jadi perdana menteri, peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil adalah paling tertinggi.
“Kerana saya percaya kalau anda mahu ubah masyarakat India kena bermula daripada India.”
Justeru, beliau menggesa masyarakat India untuk percaya kepada kerajaan BN yang terus mengotakan janji.
“Sebab itu kita kena beri keyakinan kepada pihak yang dapat berbuat sesuatu, bukanlah kita bergantung kepada cakap-cakap atau janji sahaja.
“Siapa yang mempunyai perancangan, program yang sudah kita laksanakan dan kita akan terus memberi kepada masyarakat India, kalau tak lain dan tak bukan kerajaan BN.” – 3 Disember, 2017.
Komen